CHUKAI, 19 April (Bernama) -- Kolej Universiti TATI (UC TATI) bakal menjadikan penyertaan dalam Formula Student Malaysia (FSM) 2026 sebagai platform penting untuk membuktikan keupayaan dalam bidang kejuruteraan automotif pada edisi yang berlangsung di Litar Dato’ Sagor, Perak pada Rabu dan Khamis ini.
Rektor UC TATI Profesor Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid berkata kejohanan berprestij itu adalah kesinambungan kepada Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) dalam usaha mengangkat semula platform pembangunan bakat kejuruteraan selepas dihentikan kira-kira sedekad lalu.
Beliau berkata UCTATI Racing Team (UTRT) tampil dengan dua jentera utama iaitu Red Shark dan Blue Shark yang dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar pelbagai disiplin.
"Kedua-dua jentera menjadi simbol keupayaan teknikal pelajar institusi berkenaan yang menggabungkan elemen reka bentuk, analisis aerodinamik (CFD), fabrikasi, pemasangan dan ujian prestasi dalam satu ekosistem pembangunan sebenar.
"Pendekatan hands-on engineering yang diterapkan dilihat selari dengan kehendak industri semasa yang menuntut integrasi antara kejuruteraan, inovasi dan keusahawanan sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Hairul Azhar berkata UTRT bukanlah nama asing dalam arena perlumbaan pelajar apabila mencatat kadar kejayaan 50 peratus dalam penyertaan terdahulu selain meraih beberapa kemenangan di litar seperti Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Kuantan.
"Bagi edisi 2026, jentera Red Shark diketuai Muhammad Adam Alif Muhammad Zani dengan Che Hanif Haikal Che Mat sebagai pemandu manakala Blue Shark diterajui Muhammad Redaniel Haqim Redzuan bersama pemandunya, Eizzedin Afkar Azil Hizaq.
"Kedua-dua pasukan turut dibarisi pelajar daripada pelbagai bidang termasuk pembuatan, automotif, mekatronik, kimia, pengurusan perniagaan serta sains komputer," katanya.
Menyentuh mengenai sudut teknikal, beliau berkata fokus pembangunan jentera tertumpu kepada peningkatan prestasi aerodinamik melalui analisis CFD, pengurangan berat bagi meningkatkan kelajuan serta kestabilan dan kawalan optimum di litar selain memastikan reka bentuk memenuhi piawaian pertandingan antarabangsa.
"Persiapan ke arah FSM 2026 telah melalui beberapa fasa rapi sejak tahun lalu merangkumi perancangan teknikal dan kewangan, pembangunan serta penambahbaikan jentera selain latihan intensif dan ujian prestasi," katanya.
Hairul Azhar juga berkata UTRT meletakkan sasaran untuk muncul sebagai antara pencabar utama dalam kategori teknikal dan perlumbaan di samping memperkenal bakat kejuruteraan muda kepada industri serta mengukuhkan reputasi UC TATI sebagai institusi TVET kompetitif.
"Dengan kombinasi kepakaran teknikal, pengalaman pertandingan dan semangat berpasukan, Red Shark dan Blue Shark dijangka mampu memberi saingan sengit pada FSM 2026," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial