Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

36 Jemaah Umrah Terkandas: MOTAC Batal Lesen Syarikat Al Aisy Travel & Tour Sdn Bhd

20/04/2026 01:54 PM

PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan lesen Syarikat Al Aisy Travel & Tour Sdn Bhd berkuat kuasa 31 Mac lepas, susulan insiden 36 jemaah Malaysia terkandas di Arab Saudi sebelum ini.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembatalan lesen itu selaras dengan Seksyen 8 Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) berikutan syarikat tersebut didapati gagal membuat tempahan terlebih dahulu bagi kemudahan penginapan dan pengangkutan di Madinah seperti dalam jadual pakej umrah atau ziarah.

“Syarikat juga gagal mengikut jadual perjalanan pelancongan dan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia kepada 36 jemaah umrah sehingga menyebabkan jemaah tersebut terkandas di Madinah, Arab Saudi,” kata MOTAC.

Ad Banner

Tindakan syarikat berkenaan turut membuktikan bahawa ia gagal untuk mematuhi apa-apa obligasi yang dikenakan ke atas syarikat dan melanggar syarat dikenakan di bawah lesen sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan 8(1)(a) dan (b) Akta 482.

Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan syarikat terbabit didapati menjalankan perniagaannya mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara sebagaimana diperuntukkan di bawah perenggan 8(1)(d) Akta 482.

Menurut MOTAC, keadaan itu menimbulkan risiko keselamatan, tekanan kewangan dan gangguan perjalanan ibadah terhadap jemaah umrah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti dan integriti syarikat serta merosakkan keyakinan awam terhadap industri pelancongan secara keseluruhan.

Ad Banner

“MOTAC tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran peruntukan undang-undang oleh pengusahaan pelancongan berlesen demi menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia MADANI,” kata kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan