Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Cendana Auto Dan SISU Auto Dari Finland Bekerjasama Perkasa Keupayaan Industri Pertahanan

21/04/2026 08:35 AM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) --  Cendana Auto Sdn Bhd dan SISU Auto dari Finland hari ini menjalin kerjasama strategik untuk memajukan keupayaan industri pertahanan Malaysia melalui pembangunan bersama dalam teknologi, kejuruteraan dan penyetempatan platform kenderaan pertahanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cendana Auto Fairuz Abd Razak berkata selaras dengan agenda Malaysia untuk memperkukuh kemandirian pertahanan dan daya tahan industri, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan dalam negara daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan hinggalah kepada pemasangan, pembuatan dan sokongan kitaran hayat kenderaan.

“Teras bagi perkongsian ini ialah program pembangunan dan kejuruteraan bersama, dengan kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam reka bentuk dan penyesuaian platform kenderaan canggih, termasuk konfigurasi Pemanduan Sebelah Kanan (RHD) yang disesuaikan dengan keperluan operasi serantau,” katanya.

Ad Banner

Fairuz berkata syarikat itu akan memanfaatkan kerjasama tersebut untuk mengembangkan pembangunan bakat tempatan melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penglibatan veteran Angkatan Tentera Malaysia.

“Buat masa ini, kira-kira 30 peratus daripada pasukan teknikal kami adalah daripada institusi TVET seperti GIAT MARA dan IKBN, antara lainnya. Semua pelajar akan terlibat dalam pembangunan kenderaan jenis ini.

“Dengan penyertaan golongan muda ini, kami mahu mereka mempelajari teknologi pertahanan baharu, terutamanya untuk industri tempatan,” katanya ketika ditemui Bernama di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Negara (NATSEC) Asia 2026 di sini, hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata program itu akan menekankan kepada pemindahan teknologi berstruktur, pembangunan bersama sistem dan subsistem serta pembangunan progresif harta intelek tempatan.

“Tonggak utama kerjasama itu ialah penyetempatan keupayaan pengeluaran dan sokongan di Malaysia.

“Cendana Auto akan mengembang dan meningkatkan kemudahannya bagi menyokong pemasangan dan pembuatan tempatan, termasuk program CKD (pemasangan tempatan) dan semi CKD, sambil memperkukuh ekosistem vendor domestik dan rantaian bekalan,” kata Fairuz.

Sementara itu, Naib Presiden SISU Auto Jyri Ahonen berkata pemindahan pengetahuan dan teknologi penting untuk memastikan kemampanan jangka panjang dan kesediaan operasi kenderaan pertahanan di Malaysia.

“Pemindahan teknologi dan pengetahuan merupakan bahagian penting dalam usaha Cendana untuk menyediakan sokongan kitaran hayat bagi kenderaan pertahanan di negara ini,” katanya.

Ahonen juga menyifatkan Cendana Auto sebagai rakan kongsi kongsi pelengkap yang memiliki keupayaan dan pengalaman luas dalam industri kenderaan pertahanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan