KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Dalam landskap keselamatan moden hari ini, ancaman paling berbahaya bukan lagi sekadar sesuatu yang boleh dikesan oleh radar, sebaliknya hadir secara senyap tanpa disedari.
Ancaman Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) kini dilihat sebagai antara cabaran utama yang bukan sahaja dihadapi dalam situasi peperangan, malah menerusi insiden domestik yang pernah berlaku di Malaysia.
Meskipun Malaysia belum pernah berdepan dengan serangan musuh yang melibatkan senjata CBRNE, insiden seperti pencemaran sisa toksik Sungai Kim Kim, wabak biologi seperti virus Nipah dan COVID-19 menjadi bukti bahawa ancaman ini sentiasa berada di sekeliling kita.
Ketua Jurutera Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Brigedier Jeneral Sharuddin Mohd Noh berkata realiti kemusnahan yang mampu dibawa oleh senjata CBRNE menuntut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap siaga melalui 12 Skuadron RAJD yang berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.
Beliau berkata unit elit yang dikenali sebagai ‘Mask Warriors’ atau Pahlawan Bertopeng itu dianggotai sekitar 80 hingga 100 anggota pakar yang dilatih khusus untuk mendepani ancaman CBRNE dari pelbagai sudut.
"Kemahiran utama anggota kita terbahagi kepada beberapa aspek kepakaran kritikal antaranya mengesan ancaman, melakukan proses dekontaminasi (decontamination) dan mempunyai keupayaan forensik untuk mengutip sampel di kawasan tercemar sekiranya berlaku insiden melibatkan keganasan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pengurusan krisis CBRNE kini tidak lagi bersifat eksklusif kepada pihak tentera, sebaliknya memerlukan kerjasama inklusif daripada pelbagai agensi kerajaan.
Sharuddin berkata keupayaan bertindak balas dengan pantas amat bergantung kepada kolaborasi pelbagai agensi melibatkan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kepakaran teknikal Jabatan Kimia Malaysia serta sokongan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Apa yang ditekankan dalam dunia CBRNE adalah keupayaan kita untuk menjangka (anticipate) dan meramal ancaman lebih awal. Jika berlaku pencemaran, teknologi dan kepakaran yang kita ada mampu mengira kadar serakan dan tahap ancaman, membolehkan kita bertindak balas dengan lebih efisien," katanya.
Bagi menguji tahap kesiapsiagaan, anggota 12 Skuadron RAJD sentiasa didedahkan dengan latihan berintensiti tinggi termasuk ‘Exercise Mantis’, iaitu latihan bersepadu yang dijalankan di Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang (PKFZ).
Terbaharu, kepakaran dan kolaborasi berkenaan ditampilkan buat julung kali di ruang pameran ‘CBRNE Arena’ sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Gimik pelancaran ruang pameran tersebut dirasmikan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Saad, di sini semalam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial