Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jambatan Kota Tinggi Bypass Dijangka Siap Akhir Julai - Ahmad Maslan

21/04/2026 04:19 PM

KOTA TINGGI, 21 April (Bernama) -- Projek Jambatan Kota Tinggi Bypass di laluan FT003, di sini dijangka siap sepenuhnya pada 28 Julai depan dengan kemajuan pembinaan setakat ini mencapai 85 peratus.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata jambatan sepanjang 464 meter dan 22.6 meter lebar itu meliputi empat lorong dengan dua hala jalan.

Beliau berkata projek bermula sejak 10 Sept 2020 itu melibatkan kos lebih RM104 juta yang antaranya dibina sebagai langkah mitigasi banjir.

Ad Banner

“Jambatan lama yang (sebelum ini) rendah dan mengganggu laluan air akan dirobohkan,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kota Tinggi di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata JKR Daerah Kota Tinggi melaksanakan tanggungjawab menyelenggara Jalan Persekutuan sepanjang 772.91 kilometer (km) dan Jalan Negeri 135.59km merangkumi kerja rutin, berkala, turapan dan bukan turapan, saliran, pembentung serta cerun.

Ahmad berkata setakat ini tiga projek Jalan Persekutuan bernilai RM10 juta dan satu projek mitigasi banjir kerajaan negeri bernilai RM2.3 juta sedang dilaksanakan di daerah berkenaan.

Ad Banner

“Sebanyak enam projek pembinaan bangunan Persekutuan bernilai RM54.4 juta dan satu projek negeri bernilai RM2 juta melibatkan pembinaan mahkamah, klinik kesihatan, sekolah sukan, masjid, institut latihan kemahiran dan kuarters sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 24 projek tambahan blok sekolah sebagai perintis penempatan murid enam tahun ke tahun satu pada tahun depan turut dirancang dibina di daerah tersebut dengan menggunakan kaedah modular dan sistem binaan berindustri (IBS).

Menurut Ahmad, sebanyak RM8.6 juta turut diperuntuk bagi tiga projek menaik taraf dan penyelenggaraan bangunan institut latihan, sekolah serta pejabat kerajaan.

Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) kekal komited memastikan semua projek berkenaan dilaksanakan mengikut jadual, mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti selain memberikan impak langsung kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan ekonomi setempat.

 -- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan