KUCHING, 21 April (Bernama) -- Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke yang mempamerkan warisan maritim serta pembangunan awal Sarawak di bawah pemerintahan Rajah Putih bakal menjadi satu lagi tarikan utama di negeri ini.
Terletak di pusat bandar raya Kuching, muzium itu menampilkan galeri bertemakan mesin asal limbungan kapal selain sebuah replika kapal HHY Zahora yang pernah memainkan peranan penting dalam pentadbiran negeri suatu ketika dahulu.
Muzium berkenaan turut memaparkan kesinambungan sejarah perindustrian Sarawak menerusi kapal seberat 350 tan dan sepanjang hampir empat meter itu, yang pernah berkhidmat kepada Rajah kedua dan ketiga Sarawak dari 1896 hingga 1928.
Sepanjang tempoh itu, kapal berkenaan menjadi penghubung utama melalui rangkaian sungai yang luas, sekali gus memudahkan perjalanan dari Kuching ke kawasan pedalaman serta membawa pentadbiran lebih dekat kepada rakyat.
Muzium itu turut menampilkan beberapa galeri utama yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai evolusi Sarawak.
Antaranya termasuk Galeri Revolusi yang membawa pengunjung menelusuri perjalanan pemodenan negeri di bawah pemerintahan Charles Brooke, selain memaparkan perkembangan Kuching sebagai pusat pentadbiran dengan penubuhan institusi penting seperti pejabat kerajaan, hospital, sekolah dan pusat keagamaan sehingga diiktiraf sebagai bandar raya pada 1988.
Sementara itu, Galeri Lelaki Perkasa (Men of Steel) menyorot kisah individu yang menjadi tulang belakang kepada operasi Limbungan Brooke Dockyard.
Pameran itu memperkenalkan peranan pekerja tempatan dan pegawai Eropah dalam membangunkan industri berkenaan, termasuk evolusi tenaga kerja daripada asas kepada tenaga mahir, separa mahir dan pengurusan dalam bidang pertukangan serta elektrik.
Daripada permulaan sederhana, limbungan kapal itu berkembang menjadi Brooke Holding Sdn Bhd yang kini menggaji lebih 400 kakitangan, sekali gus mencerminkan kemajuan industri tempatan dari era kolonial hingga kini.
Galeri Sungai dan Kapal pula menggambarkan Sungai Sarawak yang mengalir sejauh kira-kira 120 kilometer dari Pergunungan Kapuas hingga ke Muara Tebas sebagai nadi kehidupan negeri ini.
Galeri tersebut memberi tumpuan kepada peranan penting sungai itu dalam membentuk penempatan awal di sepanjang tebingnya, termasuk perkembangan Kuching sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan sejak dahulu.
Selain itu, Galeri Kembali ke Masa Silam membawa pengunjung ke permulaan Limbungan Brooke yang pertama kali dicadangkan oleh Rajah Charles Brooke pada tahun 1870 sebagai sebahagian daripada usaha memajukan ekonomi Sarawak.
Ia turut meneroka pembinaan salah satu limbungan kering tertua di Borneo antara 1908 dan 1912, yang dibuka secara rasmi oleh Ranee Muda Sylvia.
Galeri Gear dan Enjin Unggul pula mempamerkan nadi perindustrian Brooke Dockyard, iaitu kerja pembaikan dan penyelenggaraan badan serta jentera kapal.
Galeri itu menampilkan mesin asal, peralatan kimpalan dan relau pencairan tembaga yang kebanyakannya diimport dari Britain pada awal abad ke-20, sekali gus mencerminkan kekuatan kejuruteraan di sebalik pembangunan perindustrian dan infrastruktur awal di negeri Bumi Kenyalang.
Pada majlis perasmiannya semalam, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembukaan muzium itu tepat pada masanya bagi mengingatkan generasi muda mengenai sejarah perkembangan Kuching.
“Ia menjadi simbol legasi kejuruteraan dan budaya negeri yang perlu dipertahankan sebagai identiti rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau turut mengumumkan rancangan membina laluan tebing sungai (waterfront) sepanjang 4.8 kilometer yang menghubungkan muzium berkenaan dengan Jambatan Satok sebagai mercu tanda warisan dan pembangunan moden Kuching.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata transformasi Limbungan Brooke menjadi sebuah muzium warisan industri merupakan inisiatif berimpak tinggi yang dilaksanakan secara berperingkat dari 2020 hingga 2025, melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM46.7 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial