Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

P.Pinang Berpeluang Anjur Persidangan Antarabangsa Susulan Ketegangan Geopolitik Asia Barat

21/04/2026 08:41 PM

GEORGE TOWN, 21 April (Bernama) -- Pulau Pinang menyaksikan peningkatan ketara dalam penganjuran persidangan antarabangsa susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, yang menyebabkan penganjur acara memindahkan lokasi penganjuran ke rantau lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) G. Ashwin berkata perubahan landskap itu, telah membuatkan pengaturan semula pelbagai acara perniagaan utama dengan rantau Asia Pasifik muncul sebagai antara destinasi alternatif utama.

“Pada masa ini, kita melihat peningkatan ketara dalam peluang (penganjuran persidangan antarabangsa) apabila persidangan yang pada asalnya dirancang di Asia Barat, dibatalkan atau dipindahkan beribu-ribu acara kini diagihkan semula ke rantau Asia Pasifik dan Eropah.

Ad Banner

“Pulau Pinang telah mengenal pasti 26 persidangan antarabangsa sebagai sasaran segera bagi tahun ini dan tahun hadapan, ini peluang yang mudah diperoleh kerana ia sudah pun wujud dan kita hanya perlu mengetengahkan Pulau Pinang sebagai destinasi penganjuran yang sesuai dan menarik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran program BE Associate oleh PCEB yang disempurnakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Ashwin berkata peluang tersebut dianggap sebagai low-hanging fruit, kerana kebanyakan persidangan telah dirancang lebih awal dan Pulau Pinang hanya perlu berinteraksi dengan penganjur bagi menawarkan lokasi penganjuran di negeri itu.

Ad Banner

Beliau berkata setakat ini, tiada pembatalan acara antarabangsa direkodkan di negeri itu akibat konflik berkenaan, kecuali beberapa acara yang hanya ditangguhkan antara satu hingga dua bulan.

“Setakat ini, kesan terhadap Pulau Pinang minimum, tanpa sebarang pembatalan besar direkodkan kerana hanya terdapat beberapa penangguhan, biasanya satu hingga dua bulan, kebanyakannya disebabkan isu berkaitan perjalanan,” katanya dan menambah secara keseluruhan keadaan masih terkawal.

Beliau berkata persaingan antara destinasi di rantau Asia Pasifik dijangka semakin sengit susulan setiap negara berusaha merebut acara yang dibatalkan di negara Timur Tengah.

“Ini merupakan peluang, tetapi pada masa yang sama ruang yang sangat kompetitif, banyak destinasi sedang bersaing untuk mendapatkan kumpulan persidangan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh sektor acara perniagaan bagi menyokong pertumbuhan industri pelancongan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi memperkukuh nilai tambah Pulau Pinang serta mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan utama penganjuran acara perniagaan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan