Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Proton Perluas Jaringan Kerjasama Industri-TVET, Perkasa Laluan Kerjaya Belia

22/04/2026 05:12 PM

IPOH, 22 April (Bernama) -- Proton Holdings Bhd (Proton) terus memperluas jaringan kerjasama antara industri dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha memperkasa laluan kerjaya belia dalam sektor automotif negara.

Proton dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan menerusi satu program lawatan industri di fasilitinya di Automotive High-Tech Valley (AHTV) Tanjong Malim, syarikat itu membuka peluang kepada 35 pelatih dari GiatMARA Tanjong Malim memahami dengan lebih dekat keperluan sebenar industri serta potensi kerjaya yang ditawarkan.

Ketua Pegawai Sumber Manusianya Dr Kasuma Satria Mat Jadi berkata program tersebut memberi fokus kepada pembinaan kesediaan kerja dalam kalangan pelatih, termasuk pendedahan terhadap budaya kerja profesional, standard kualiti serta penggunaan teknologi moden dalam pembuatan kenderaan.

Ad Banner

"Usaha ini  penting dalam memastikan bakat muda tempatan bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal, tetapi juga kefahaman menyeluruh terhadap landskap industri yang kian berkembang.

“Pendedahan awal seperti ini membantu pelatih membuat perancangan kerjaya yang lebih jelas serta meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor automotif,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata sepanjang lawatan itu pelatih terbabit turut diberi peluang mengikuti sesi perkongsian bersama Ketua Pereka Proton Azlan Othman yang menyentuh mengenai peranan kreativiti dan inovasi dalam pembangunan produk automotif masa kini.

Ad Banner

"Inisiatif yang disokong oleh Proton ini bukan sahaja membuka ruang pendedahan kepada pelatih, malah memperlihatkan peranan strategik AHTV dalam merapatkan jurang antara latihan kemahiran dan keperluan industri sebenar.

"Pembangunan AHTV dilihat sebagai pemangkin penting dalam menyediakan ekosistem lengkap yang menyokong pertumbuhan bakat, inovasi serta peluang pekerjaan dalam sektor automotif," katanya.

Sementara itu, Ketua GiatMARA Tanjong Malim, Fadilah Abdullah berkata program sedemikian memberi kelebihan kepada pelatih untuk menilai kecenderungan kerjaya masing-masing berdasarkan pengalaman sebenar industri.

"Pengalaman ini penting dalam memberi inspirasi kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran serta menceburi kerjaya dalam sektor automotif.

“Ia membolehkan mereka melihat sendiri keperluan dan standard yang diperlukan untuk berada dalam kalangan jenama terkemuka dalam industri automotif Malaysia. Pengalaman seperti ini penting dalam memberi inspirasi kepada pelajar kami untuk terus meningkatkan kemahiran serta menceburi kerjaya dalam sektor automotif,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan