PADANG BESAR, 22 April (Bernama) -- Polis mempergiat pemantauan di lapan stesen minyak sekitar daerah Padang Besar dalam usaha mengekang aktiviti penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata meskipun tiada kes tangkapan atau rampasan berkaitan penyalahgunaan bahan api itu sejak pelaksanaan Ops Tiris 4.0 Bersepadu pada 15 April lepas di daerah berkenaan namun pemantauan berterusan penting untuk mengelakkan berlaku ketirisan.
"Dalam kawasan daerah Padang Besar ada 11 stesen minyak, dua daripadanya sudah tidak beroperasi manakala satu daripada sembilan stesen minyak yang masih beroperasi ini tidak bersubsidi... jadi, tumpuan kita di lapan stesen minyak bersubsidi ini.
"Rondaan juga dilaksanakan secara menyeluruh meliputi elemen kereta peronda, trafik selain pasukan petugas khas yang ditubuhkan khusus untuk tujuan penguatkuasaan," katanya pada sidang media di sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Mohd Shokri berkata pihaknya turut memberi tumpuan kepada kawasan dikenal pasti sebagai hotspot aktiviti penyelewengan itu termasuk pemantauan terhadap kenderaan menggunakan tangki tambahan.
“Sekiranya terdapat maklumat berkaitan penyelewengan atau aktiviti mencurigakan, tindakan segera akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial