KUALA TERENGGANU, 22 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu merekodkan 1,315 kes kebakaran terbuka sepanjang tahun ini, kata Pengarahnya Nor Mahathir Muhamad.
Beliau berkata daerah Kuala Nerus mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 228 kes, diikuti Kemaman (220), Dungun (194), Marang (190), Besut (168), Kuala Terengganu (154), Setiu (132) dan Hulu Terengganu (29).
“Peralihan monsun daripada Monsun Timur Laut (MTL) ke Monsun Barat Daya (MBD) yang berlaku sejak bulan lepas menyebabkan keadaan cuaca menjadi lebih panas, kering dan berangin. Ia sekali gus meningkatkan risiko berlakunya kebakaran terbuka,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Nor Mahathir berkata kebanyakan lokasi yang terjejas melibatkan kawasan belukar, iaitu sebanyak 1,049 kes selain kebakaran turut melibatkan kawasan kebun dan hutan.
Katanya setakat hari ini, terdapat lapan kawasan masih dilanda kebakaran melibatkan enam daerah, iaitu Kuala Nerus, Setiu, Kemaman, Kuala Terengganu, Besut dan Dungun yang kebanyakannya melibatkan belukar dan hutan.
Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka walaupun bagi tujuan pembersihan kerana api boleh merebak dengan pantas dalam keadaan cuaca panas.
“Pembakaran terbuka adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024. Pesalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 sehingga maksimum RM1 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.
“Malah di bawah Seksyen 29B akta yang sama, pemilik atau penghuni premis juga boleh dipertanggungjawabkan jika kebakaran berlaku di kawasan mereka. Oleh itu, hentikan pembakaran terbuka dan bersama-sama kita melindungi keselamatan komuniti serta alam sekitar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial