KOTA BHARU, 22 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan merancang menyediakan lebih banyak lokasi riadah dan aktiviti permotoran bagi membendung aktiviti "mat rempit” di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata langkah itu seiring dengan pendirian kerajaan negeri yang mahu isu sosial membabitkan anak muda dinilai secara menyeluruh tanpa prejudis.
Beliau berkata setiap penilaian berhubung isu lumba haram perlu dibuat secara adil dengan mengambil kira pelbagai sudut kajian serta penelitian dan tidak seharusnya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
Menurutnya, walaupun tiada statistik khusus bagi menggambarkan tahap sebenar kegiatan “mat rempit” di negeri itu, indikator paling hampir yang boleh dirujuk adalah melalui laporan tangkapan Polis Diraja Malaysia.
“Berdasarkan laporan itu, tiga negeri mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu Selangor, Johor dan Pulau Pinang manakala Kelantan, Terengganu dan Perlis berada pada kedudukan paling rendah.
“Jika indikator ini diguna pakai, aktiviti ‘rempit’ di Kelantan hakikatnya berada pada tahap yang lebih rendah berbanding negeri lain,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Meskipun begitu, Zamakhshari menegaskan kerajaan negeri tidak memandang enteng, sebaliknya tetap memandang serius isu berkenaan dan komited menanganinya hingga ke akar umbi.
“Anak muda bukan masalah, sebaliknya aset negara yang perlu dibimbing. Usaha menangani isu ini memerlukan penglibatan semua pihak termasuk ibu bapa serta institusi pendidikan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, balai pelepasan di terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa di sini dijadikan litar lumba oleh “mat rempit”.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial