Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Peluru Latihan UTM Tawar 100 Peratus Realisme Tempur, Jamin Keselamatan

23/04/2026 03:32 PM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Penggunaan peluru latihan dan kit penukaran senjata yang tidak membawa maut kini dilihat sebagai keperluan kritikal untuk meningkatkan tahap realisme dan kecekapan operasi pertempuran jarak dekat (CQB) pasukan keselamatan negara.

Pengarah Jualan Antarabangsa Ultimate Training Munitions (UTM) UK Paul Graham berkata peluru latihan dan kit penukaran keluaran syarikat berkenaan amat versatil serta mampu digunakan terhadap antara 250 hingga 300 jenis senjata api berbeza.

Ad Banner

“Kami memiliki kit untuk setiap senjata utama yang digunakan oleh pihak tentera dan agensi penguat kuasa undang-undang. Ia merangkumi pistol, submesingan, raifal hingga tali pinggang mesingan," katanya kepada Bernama pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NatSec) Asia 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata ketahanan sistem itu dan ciri keselamatannya yang tinggi telah menjadikannya pilihan utama di lebih 60 negara di dunia.

Graham berkata pelanggan terbesar UTM ialah tentera Amerika Syarikat (AS), manakala pengguna utama lain termasuk tentera Perancis serta angkatan tentera di seluruh Asia Barat dan rantau Asia Tenggara.

Ad Banner

"Kebanyakan angkatan tentera di seluruh dunia menggunakan UTM kerana ia alat latihan yang amat bermanfaat dan realistik. Ia menyuntik elemen tekanan dalam latihan, menyakitkan jika terkena tembakan dan pendedahan terhadap tekanan itu menjadikan latihan lebih realistik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Malkraine Sdn Bhd Mohd Amiruddin Jamhari berkata sistem UTM memberikan pengalaman menembak yang hampir 100 peratus realistik dengan fungsi kitaran senjata yang menyerupai keadaan sebenar.

Beliau berkata ia juga mempunyai penarafan kebolehpercayaan 99.8 peratus yang disahkan oleh tentera AS, berbanding penggunaan simulasi airsoft atau tembak laser.

Malkraine Sdn Bhd ialah pengedar sah produk UTM bagi pasaran Malaysia.

“Alasan mengapa pengguna memerlukan penyelesaian seperti ini adalah kerana tanpa peluru latihan, penembak akan menggunakan airsoft atau tembak laser. Penggunaan airsoft tidak memberikan sentakan dan maklum balas sebenar, jadi kami mahu mewujudkan keadaan sebenar semasa latihan.

"Anda tidak akan berasa apa-apa apabila menggunakan tembak laser. Kami tidak mahu anggota kami menjalani CQB tanpa elemen daya fizikal kerana ia tidak memberikan sensasi seperti dalam situasi sebenar. Ini menyelesaikan semua masalah tersebut kerana ia membantu membina memori otot,” katanya.

Selain ciri realisme, Mohd Amiruddin berkata teknologi UTM menjamin persekitaran latihan 100 peratus selamat dengan sifar risiko kematian, berikutan mekanisme kit penukarannya yang menghalang penggunaan peluru hidup.

“Kit penukaran kami menggantikan kit asal senjata, selepas itu senjata tersebut hanya boleh beroperasi menggunakan peluru keluaran kami. Walaupun peluru hidup secara tidak sengaja dimasukkan ke dalam kelopak, ia tidak boleh ditembak. Ia benar-benar 100 peratus selamat,” katanya.

Beliau berkata sejak mula memasuki pasaran domestik secara rasmi pada 2020, sistem UTM telah diterima pakai secara meluas oleh unit pasukan khas tempatan, dengan pelanggan terbesar ketika ini ialah Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU) dan Pasukan Khas Laut Tentera Laut Diraja Malaysia (PASKAL).

Mohd Amiruddin berkata Malkraine mencatat pertumbuhan jualan antara 20 hingga 30 peratus setahun, dengan purata penggunaan puluhan ribu butir peluru bagi setiap perolehan latihan.

“Semakin banyak jabatan menggunakan dan memerlukan sistem ini setiap tahun. Jualan kami terus meningkat seiring dengan penggunaan peluru latihan ini yang semakin meluas di pelbagai agensi serta seluruh lapisan pasukan keselamatan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan