Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kecekalan Usahawan Dodol Chik Ah Dapat Perhatian TPM Ahmad Zahid

24/04/2026 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Kisah kegigihan seorang ibu tunggal warga emas Bakiah Omar, 89, yang menjadi antara pengusaha dodol berjaya di Perak mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap kisah kejayaan wanita yang mesra disapa sebagai Chik Ah itu mampu menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat, terutama usahawan di luar bandar.

“Hari ini saya terbaca laporan mengenai kisah Chik Ah yang mendapat perhatian Bernama. Terus teringat saya pada beliau melalui sepucuk surat tulisan tangan yang saya terima tempoh hari bersama dodol hasil air tangannya.

Ad Banner

“Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk terus menghargai dan menyokong usaha usahawan tempatan, khususnya usahawan desa,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan kisah kecekalan Chik Ah membesarkan 10 anak sambil mengusahakan perniagaan makanan tradisional, yang kini menjadi sumber rezeki utama keluarganya.

Sejak hampir lima dekad lepas, produk Dodol Lemak Manis Memikat Cik Ah kekal menjadi kegemaran masyarakat setempat, khususnya pada musim perayaan, selain sering dijadikan hidangan pada majlis keramaian dan buah tangan.

Ad Banner

Beliau antara 178 usahawan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) yang menerima bantuan geran di Perak dan juga usahawan paling aktif menjana pendapatan daripada produk dodol.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan