MIRI, 25 April (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru agar pemimpin akar umbi memperkukuh perpaduan serta menyampaikan dasar kerajaan negeri secara berkesan kepada rakyat, dalam menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi.
Berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Masyarakat di sini malam tadi, beliau berkata pencapaian pembangunan Sarawak sepanjang lebih sedekad lepas, perlu dilihat seiring dengan cabaran masa depan, khususnya dalam menyesuaikan diri dengan ekonomi digital dan peralihan kepada tenaga hijau.
Abang Johari berkata ketua masyarakat termasuk penghulu, memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat tepat disampaikan kepada rakyat, sekali gus menangkis penyebaran maklumat tidak benar di media sosial.
“Perubahan sedang berlaku dengan pantas. Oleh itu, pemimpin akar umbi perlu memahami dasar kerajaan dan menyampaikannya dengan jelas, supaya rakyat tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperluas pembangunan infrastruktur, termasuk projek jaringan jalan raya menghubungkan Miri dengan kawasan pedalaman seperti Marudi, Long Lama dan kawasan sekitarnya.
“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, jaringan jalan raya ini dijangka siap dan akan membuka kawasan pedalaman serta meningkatkan akses kepada bekalan air dan elektrik,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Sarawak terus memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga boleh baharu dan transformasi digital, bagi meletakkan negeri itu sebagai ekonomi berdaya saing dan mampan di rantau ini.
Beliau turut mengulangi komitmen kerajaan negeri dalam bidang pendidikan, termasuk menyediakan pendidikan tinggi percuma di institusi terpilih untuk anak Sarawak, sejajar dengan keperluan industri masa depan seperti semikonduktor dan teknologi hijau.
Mengulas mengenai perpaduan, beliau menegaskan kekuatan Sarawak terletak pada kepelbagaian kaum serta keupayaan membangunkan negeri mengikut acuan sendiri.
“Kita mesti membangunkan Sarawak mengikut acuan kita sendiri, seperti kek lapis yang melambangkan kepelbagaian budaya kita,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial