BUKIT MERTAJAM, 25 April (Bernama) -- Agenda transformasi digital negara mesti memberikan manfaat kepada majoriti rakyat secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kepada segelintir golongan seperti warga bandar dan berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak mahu wujud jurang digital antara golongan kaya di bandar dengan masyarakat luar bandar yang kurang akses kepada teknologi.
Beliau berkata kemasukan pelaburan besar daripada syarikat antarabangsa seperti Infineon, Nvidia dan Geely juga perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan serta peningkatan ekonomi rakyat pada semua peringkat.
“Rakyat kita mesti diberi pendedahan, jangan ketinggalan. Negeri-negeri maju, cakap soal teknologi baharu, digital dan AI (kecerdasan buatan) tetapi jangan menyebabkan kesenjangan … orang yang kaya di bandar (sahaja) dapat pendedahan
“Pembangunan ini mesti jamin keadilan bagi ramai, bukan kelompok kecil. Ini cabaran kita, bagaimana nak jamin teknologi kita kuasai manfaat semua orang,” kata beliau pada Majlis Pengiktirafan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sebagai Pusat Transformasi Digital Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di NADI Kubang Semang, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abdul Bakar, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Sehubungan dengan itu, Anwar menekankan kepentingan pendedahan awal kepada teknologi digital dalam kalangan pelajar serta memastikan akses pendidikan berkualiti dinikmati secara menyeluruh.
Beliau berkata pendemokrasian akses pendidikan berkualiti termasuk dalam bidang digital penting supaya semua lapisan masyarakat mendapat peluang yang sama.
Sementara itu, Perdana Menteri memuji inisiatif MCMC berhubung Program e-Tuisyen Rakyat yang dilaksanakan di NADI, yang menyediakan kelas tambahan percuma menggunakan kemudahan digital yang membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik.
Pada 2025, lebih 42,000 pelajar tingkatan lima menyertai program e-Tuisyen Rakyat yang dilaksanakan di hampir 1,100 NADI di seluruh negara.
“Antara strategi dalam NADI ini adalah pendedahan kepada anak-anak sekolah dan anak-anak muda, kerana mereka lebih cepat menangkap hanya dengan pengaruh yang mengelirukan dan merosakkan termasuk dalam soal media sosial.
“Jadi, lebih baik NADI ditumpukan sebagai tempat lapangan menimba ilmu, memberikan latihan dan memupuk semangat persaudaraan,” kata beliau.
Anwar yang dalam rangka lawatan kerja sehari di Pulau Pinang berkata pelaksanaan dasar tidak boleh sekadar menjadi acara atau pengumuman semata-mata, sebaliknya perlu disusuli pemantauan rapi bagi memastikan keberkesanan pada peringkat akar umbi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial