Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Abdul Halim Terajui SPRM, Miliki Latar Kehakiman Yang Kukuh

25/04/2026 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Pengalaman luas lebih empat dekad dalam sistem kehakiman dan perkhidmatan awam menjadikan Datuk Seri Abdul Halim Aman antara tokoh paling berpengalaman yang kini diberi amanah menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi  itu bakal membawa kepakaran luas yang dibina sejak awal kerjayanya, dan dikenali sebagai figura berwibawa yang pernah menggalas pelbagai jawatan penting dalam sistem perundangan Malaysia.

Abdul Halim, 69, memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya sebelum melanjutkan pengajian ke University of Hull, United Kingdom bagi memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang (LLM).

Ad Banner

Anak kelahiran Melaka ini memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 1982 sebagai Pegawai Tadbir Am di Jabatan Perkhidmatan Awam, sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara sebagai Peguam Persekutuan di bahagian gubalan.

Sepanjang kariernya, beliau pernah berkhidmat sebagai Majistret di Kluang dan Muar, selain memegang jawatan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Melaka serta Timbalan Pendaftar Mahkamah Agung di Kuala Lumpur.

Beliau turut berpengalaman sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara, sekali gus memperkukuh kefahaman dalam aspek perundangan fiskal dan pentadbiran negara.

Ad Banner

Abdul Halim juga pernah berkhidmat sebagai Pegawai Pemegang Harta di Jabatan Pemegang Harta Malaysia, selain memegang jawatan Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara.

Selain itu, beliau turut  pernah mengetuai Bahagian Penyelidikan Mahkamah Persekutuan Malaysia, sekali gus memperkukuh pengalamannya dalam aspek perundangan dan kehakiman pada peringkat tertinggi.

Dalam badan kehakiman, Abdul Halim berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di Temerloh dan Kuantan sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, dengan penempatan di Kuantan, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Shah Alam.

Beliau seterusnya berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2014 sehingga persaraannya pada 10 Mac 2023.

Di sebalik kerjaya yang panjang dan cemerlang dalam perkhidmatan awam, suami kepada Datin Seri Safiah Md Tahir serta bapa kepada tujuh cahaya mata ini, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerajui SPRM berkuat kuasa 13 Mei ini, menggantikan Tan Sri Azam Baki yang menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin latar belakang Abdul Halim dalam badan kehakiman mampu menakhodai agensi berkenaan untuk tempoh dua tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan