Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Krisis Bekalan Global: Selangor Jamin Bekalan Lembu Korban Mencukupi

25/04/2026 07:13 PM

SHAH ALAM, 25 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan krisis bekalan global ketika ini tidak menjejaskan perolehan serta agihan ternakan bagi Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) 2026.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata impak berkenaan masih belum berada pada tahap membimbangkan bagi pelaksanaan ibadah korban di negeri itu untuk tahun ini.

“Ada sedikit kenaikan melibatkan kos pengangkutan untuk membawa lembu serta kos makanan ternakan, namun ia tidak menghalang kelancaran program yang telah dirancang.

Ad Banner

“Kita (Kerajaan Negeri Selangor) menjangka perkara ini akan mula ketara dalam beberapa bulan yang akan datang. Lagipun harga yang kita berikan itu agak istimewa, jadi tidaklah menjadi beban kepada pembekal malah mereka berlumba-lumba untuk membekalkannya kerana tawaran yang menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan PSKNS 2026 yang melibatkan agihan ternakan kepada masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini.

Izham berkata kerajaan negeri mengambil pendekatan strategik tahun ini dengan menambah kuantiti lembu bagi memenuhi keperluan umat Islam di Selangor selaras dengan permintaan yang tinggi di peringkat kariah.

Ad Banner

“Beza tahun ini kita banyakkan lembu berbanding kambing iaitu daripada 700 kepada 800 ekor, manakala kambing dikurangkan daripada 1,000 ekor kepada 600. Langkah ini diambil bagi memastikan manfaat agihan daging korban dapat dirasai oleh lebih ramai penerima.

“Tender terbuka telah dilaksanakan sebelum ini dan ramai pembekal telah membuat bidaan. Alhamdulillah semuanya telah menerima pelantikan tersebut dan kita juga telah mengenal pasti agihan merangkumi pejabat Menteri Besar, barisan Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri, penyelaras Dewan Undangan Negeri serta institusi agama terpilih,” katanya.

Beliau berkata proses agihan akan terus menggunakan sistem kupon bagi memastikan kelancaran urusan antara penerima dan pembekal yang telah dilantik secara sah oleh kerajaan negeri.

Menurut Izham, ternakan korban itu juga dipastikan telah melalui proses kuarantin ketat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi menjamin kesihatan haiwan sebelum diserahkan kepada pihak pengurusan masjid serta surau.

“Setakat ini semua berjalan baik kecuali ada satu dua kes seperti tahun-tahun sebelum ini berkaitan lembu tidak cukup saiz, tetapi tahun lepas perkara itu sudah berkurang. Kita rancang akan hantar lembu berkenaan sehari sebelum Hari Raya Haji untuk mengelak risiko lembu hilang atau dijangkiti penyakit.

“Selain lembu tempatan, kita juga membawa masuk lembu import dari Thailand jenis Brahman Cross yang memang berkualiti dan diwajibkan melalui proses kuarantin ditetapkan sebelum dihantar ke lokasi diminta,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan