Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KUSKOP Jumpa Pengendali E-Dagang Bincang Isu Dihadapi Peniaga

26/04/2026 06:22 PM

KEPALA BATAS, 26 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mengadakan perjumpaan dengan pengendali portal atau platform e-dagang bagi membincangkan isu dihadapi peniaga dalam talian.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata antara perkara akan disentuh dalam perbincangan itu ialah isu terma pemulangan dan bayaran balik (return & refund) barangan yang telah dibeli melalui platform tersebut.

“Bukan sahaja isu ini kerana tentu banyak isu lain termasuk bagaimana kita (KUSKOP) boleh bekerjasama dengan pengendali portal dalam usaha memperkukuh jaringan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) memandangkan e-dagang mempunyai potensi dan kelebihan,” katanya. 

Ad Banner

Sim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) di Permatang Sintok, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar berhubung kelompangan dalam terma return & refund ditawarkan oleh platform e-dagang yang dimanipulasi pe­langgan untuk mendapatkan barangan tanpa mengeluarkan wang.

Berikutan itu, terma yang bertujuan melindungi hak pengguna daripada isu penipuan seperti barangan dihantar tidak seperti diiklankan menjadi beban kepada penjual, terutamanya peniaga kecil.

Ad Banner

Sementara itu, Sim berkata pelancaran JKMU di Bertam menandakan permulaan siri baharu program itu yang akan diperluas ke beberapa lokasi lain di seluruh Pulau Pinang bagi memastikan manfaat tawaran harga barangan keperluan pada lebih rendah daripada pasaran dirasai secara inklusif oleh rakyat.

Selain memberi manfaat kepada pengguna, beliau berkata JKMU juga menjadi platform sokongan kepada peniaga kecil dan koperasi untuk merancakkan ekonomi domestik. 

Beliau berkata 10 usahawan kecil dan koperasi menyertai jualan hari ini bagi memastikan masyarakat mendapat akses kepada produk berkualiti, segar dan pada harga kompetitif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan