Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Agensi Di Bawah JPM Hal Ehwal Agama Sentiasa Dipantau, Ditambah Baik - Zulkifli

27/04/2026 03:07 PM

PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Pelaksanaan semua program dan strategi 14 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa dipantau rapi, dengan penambahbaikan dilaksanakan segera sekiranya terdapat sebarang kekurangan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata kesemua agensi itu antaranya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Tabung Haji (TH), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Yayasan Waqaf Malaysia telah mempunyai strategi masing-masing merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang, dengan tumpuan kini beralih kepada aspek pemantauan keberkesanan serta hasil pelaksanaan.

"Alhamdulillah kita sudah melakukan beberapa pelaksanaan dan strategi dengan dijayakan oleh warga daripada 14 agensi yang telah memberikan kerjasama serta sokongan luar biasa.

Ad Banner

"Hari ini kita lihat apa yang telah kita laksanakan iaitu dari segi impak, keberkesanan dan apa yang dapat dirasai oleh rakyat. Alhamdulillah, kempen dan usaha yang telah kita laksanakan telah pun membuahkan hasil," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian itu turut meletakkan pengurusan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berada di hadapan dalam beberapa aspek pentadbiran, namun semua pihak diingatkan agar tidak berpuas hati dan terus berusaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan.

Zulkifli berkata aspek masa depan bukan hanya menumpukan kepada penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat, tetapi juga membentuk fikrah dan pemikiran masyarakat agar memahami Islam yang sebenar.

Ad Banner

"Dan hari ini saya juga memberikan suatu amanat dalam bentuk video. Saya mahu mengajak seluruh warga jabatan untuk menjadi pencerita, menjadi pengkisah kepada ketamadunan, kepada Malaysia yang kita mahukan, khususnya berkenaan dengan Islam yang sebenar," katanya.

Terdahulu, Zulkifli melancarkan Kempen “Tiada Visa, Tiada Haji” dan #MadaniMembantu serta mengikuti ceramah bertajuk “Geopolitik dan Dunia Islam” yang disampaikan oleh Pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof Dr Mohd Afandi Salleh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan