Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kebakaran Hutan Dungun: JAS Buka Kertas Siasatan, Ambil Tindakan Tegas

27/04/2026 05:23 PM

PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) membuka kertas siasatan terhadap pihak yang disyaki bertanggungjawab melakukan pembakaran terbuka bagi kebakaran hutan paya gambut di Kampung Baru, Kuala Abang di Dungun, Terengganu pada 22 April.

JAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius insiden kebakaran hutan itu dan jika hasil siasatan terdapat kesalahan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner

JAS memaklumkan selepas menerima maklumat kejadian, pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan tanah rizab kerajaan berkeluasan kira-kira 32 hektar.

“Kebakaran ini telah menghasilkan asap tebal yang berpotensi menjejaskan kualiti udara serta memberi kesan kepada penduduk dan kawasan sensitif berhampiran termasuk beberapa institusi pendidikan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pihaknya juga mengambil beberapa tindakan termasuk melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan, dengan pemasangan alat pemantauan mudah alih (GRIMM) di kawasan berhampiran lokasi kebakaran.

Ad Banner

“Sehingga kini, JAS Terengganu telah memasang satu unit alat pemantauan kualiti udara di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kuala Abang, Dungun, Terengganu dan pemasangan satu alat pemantauan tambahan di kawasan terjejas,” menurut kenyataan itu.

JAS turut menyalurkan maklumat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) kepada pihak berkaitan, termasuk Pejabat Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah dan bacaan IPU di kawsan terjejas pada 8 pagi hari ini ialah 88 iaitu berada pada tahap sederhana.

“JAS turut menjalankan pemantauan kebakaran melalui udara menggunakan dron, bagi menilai tahap kawasan yang terjejas. Selain itu, bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain dalam usaha mengawal dan memadam kebakaran,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu turut menasihatkan orang awam untuk mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering yang boleh mempercepat merebaknya kebakaran.

“JAS akan terus memantau situasi ini secara rapi dan memastikan langkah-langkah kawalan pencemaran dilaksanakan bagi melindungi kesihatan awam dan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan