Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perincian Kos Terkini SUKMA Akan Dipersembah Kepada Sultan Selangor - Exco

27/04/2026 06:00 PM

SHAH ALAM, 27 April (Bernama) -- Perincian persiapan dan kos terkini penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan disembah maklum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Rabu ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu susulan perkenan baginda agar temasya berkenaan dilaksanakan secara berhemat.

“Baginda menasihatkan supaya kos perbelanjaan dikurangkan dan pengurusan acara dilaksanakan secara berhemat.

Ad Banner

“Insya-Allah, pada Rabu ini saya bersama Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari akan menghadap Sultan Selangor untuk mempersembahkan perkembangan persiapan serta perincian kos penganjuran SUKMA,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Mohd Najwan berkata pendekatan penganjuran kali ini akan memberi penekanan kepada kecekapan perbelanjaan tanpa menjejaskan objektif utama temasya berkenaan sebagai platform pembangunan atlet.

Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dijadualkan pada 30 April ini akan membincangkan perancangan terperinci dan mendapatkan pandangan daripada semua negeri yang terlibat.

Ad Banner

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 berkata sebanyak 37 acara akan dipertandingkan, termasuk penambahan acara seperti silambam, Muay Thai dan petanque.

“Fokus utama adalah memastikan SUKMA terus menjadi platform pembangunan atlet muda negara.

“Pada masa sama, kos penganjuran termasuk majlis perasmian dan penutupan akan diselaraskan dengan teliti bagi mengelakkan pembaziran,” katanya.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan dalam kenyataan memaklumkan Sultan Selangor memberi perkenan itu setelah menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas. 

Dr Mohammed Taufiq dalam kenyataan sama menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor dan berterima kasih kepada Perdana Menteri yang meletakkan kepentingan atlet muda negara sebagai keutamaan ketika memutuskan SUKMA 2026 diteruskan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan