Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bot Pam Haram Jejas Mata Pencarian Nelayan Labuan - Suhaili

28/04/2026 06:31 PM

LABUAN, 28 April (Bernama) -- Lebih daripada 80 bot pam yang beroperasi secara haram di sepanjang pesisir pantai Labuan menjejaskan pendapatan harian dan mata pencarian nelayan tempatan, kata Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman.

Suhaili, yang juga pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Labuan Utara berkata beliau telah melawat ke beberapa kawasan sekitar perairan Labuan, dan menyaksikan sendiri kehadiran bot pam di sepanjang pesisir pantai.

“Saya telah menghubungi Jabatan Perikanan Labuan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kehadiran bot pam berkenaan, namun belum disahkan sama ada bot itu berlesen atau dibenarkan beroperasi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ad Banner

Suhaili berkata perkara itu perlu ditangani secara serius kerana aktiviti bot pam berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan tempatan, yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti penangkapan ikan pesisir bagi pendapatan harian mereka.

Beliau berkata kehadiran bot pukat tunda yang menjalankan aktiviti kurang daripada tiga batu nautika dari pesisir pantai turut memburukkan lagi keadaan. 

“Bot pukat tunda itu telah merosakkan dasar laut dan perangkap ikan atau bubu ikan, dan bukti mengenai perkara itu didedahkan semasa lawatan saya bersama nelayan tempatan ke beberapa kawasan di perairan Labuan.

Ad Banner
Ad Banner

“Aktiviti berkenaan telah menjejaskan mata pencarian nelayan tempatan,” katanya.

Suhaili turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan penguatkuasaan segera bagi melindungi kepentingan nelayan tempatan, dan memastikan aktiviti perikanan di perairan Labuan dijalankan mengikut peraturan sedia ada.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan