Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hanya 12 Peratus Premis Patuhi Keperluan Pengosongan Tangki Septik - SPAN

28/04/2026 08:03 PM

GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Tahap pematuhan terhadap keperluan mengosongkan tangki septik dalam kalangan pemilik premis masih rendah, dengan hanya kira-kira 12 peratus direkodkan mematuhi ketetapan itu tahun lepas.

Pengarah Eksekutif Bahagian Operasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Lt Kol Mohd Jalaludin Sulaiman berkata penyelenggaraan berkala diwajibkan bagi memastikan sistem pembentungan berfungsi dengan baik dan tidak menjejaskan alam sekitar.

Beliau berkata keseluruhannya terdapat lebih 1.38 juta tangki septik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ad Banner

“Bagi kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), tangki septik perlu dikosongkan setiap dua tahun manakala di luar kawasan tempoh maksimum yang dibenarkan adalah tiga tahun.

“Namun, apabila kita pergi buat pemantauan, kebanyakannya memberi alasan tidak tahu meskipun Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) telah menghantar notis bersekali dengan risalah kita (SPAN) yang menyatakan tentang kesalahan dan hukuman,” katanya.

Mohd Jalaludin berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai operasi bersama IWK di beberapa premis yang dikenal pasti gagal menjalankan pengosongan tangki septik secara berjadual di Jalan Kelawei di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Operasi selama tiga hari bermula hari ini hingga Khamis melibatkan hampir 205 premis komersial, industri dan domestik di sekitar Pulau Pinang dengan hari ini sahaja sebanyak 56 notis dikeluarkan.

Beliau berkata operasi itu turut melibatkan pemeriksaan di beberapa kawasan lain di seluruh Pulau Pinang, dengan tumpuan diberikan kepada premis yang dikenal pasti berisiko tinggi serta telah menerima notis sebelum ini.

"Di Pulau Pinang sahaja terdapat 15,049 tangki septik tetapi kadar pematuhan hanya kira-kira 18 peratus," katanya.

Mohd Jalaludin berkata pihaknya memberikan tempoh 14 hari kepada pemilik premis untuk menghubungi pihak IWK bagi menjalankan kerja nyahenap cemar ke atas tangki septik dan tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya gagal.

Beliau berkata kegagalan mengosongkan tangki septik secara berkala boleh menyebabkan limpahan sisa kumbahan yang seterusnya mencemarkan sistem perparitan, sungai dan laut selain memberi kesan kepada kesihatan awam.

Katanya SPAN dengan kerjasama IWK akan meneruskan operasi serta pemantauan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap pematuhan di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran awam supaya pemilik premis lebih bertanggungjawab terhadap sistem pembetungan masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan