Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bandar Sunway Perluas Ruang Seni Dengan Pelancaran JCPAC

29/04/2026 12:47 AM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Bukan sahaja dikenali sebagai sebuah perbandaran yang dipacu oleh pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan komersial, Bandar Sunway Kuala Lumpur kini memposisikan dirinya sebagai hab serantau bagi seni persembahan susulan pelancaran Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC) hari ini.

Venue baharu itu mencerminkan peralihan yang lebih luas dalam pembangunan bandar, yang semakin mengintegrasikan infrastruktur budaya seiring pertumbuhan ekonomi.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Sunway Datin Paduka Sarena Cheah berkata JCPAC akan menjadi antara mercu tanda paling ikonik di Asia Tenggara, apabila masyarakat daripada pelbagai lapisan boleh berkumpul, mendapat inspirasi dan menghayati seni sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.

Ad Banner

“Seperti yang sentiasa dipercayai oleh pengasas dan pengerusi kami Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, sebuah bandar yang berkembang maju bukan sekadar tentang bangunan dan perkakasan fizikal… ia juga berkaitan dengan jiwa.

“JCPAC mewakili nadi Bandar Sunway Kuala Lumpur, membantu membentuk perwatakan perbandaran kami seiring pembangunan komersial,” katanya semasa pelancaran JCPAC hari ini.

Dewan acara yang dijadualkan dibuka pada Ogos ini dengan musim perasmian berlangsung hingga Januari 2027, diterajui oleh dua produksi utama merangkumi Teater Prosenium berkapasiti 1,200 tempat duduk dan Teater Eksperimental berkapasiti 150 tempat duduk.

Ad Banner
Ad Banner

Lebih menarik, barisan pembukaan akan menampilkan gabungan produksi tempatan dan antarabangsa, termasuk Puteri Gunung Ledang The Musical dan Butterfly Lovers The Musical.

Pengarah Artistik Penerbitan JCPAC Melissa Teoh berkata pendekatan itu disusun rapi untuk mencerminkan usaha mengimbangi penceritaan tempatan dengan perspektif global.

“Kami mahu musim pembukaan ini mencerminkan siapa kami dan aspirasi kami sebagai sebuah rumah bagi artis Malaysia dan pintu gerbang kepada persembahan global yang terbaik.

“Program kami mencerminkan komitmen dwifungsi, dengan menghimpunkan karya-karya yang berakar umbi dalam landskap budaya kita, di samping produksi antarabangsa yang meluaskan perspektif serta menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan,” katanya.

Teoh berkata beliau percaya sesebuah pusat seni persembahan itu harus mencerminkan kekayaan komuniti yang disantuninya.

“Hasil kerja kami merangkumi bidang teater, muzik, tarian, filem, komedi, dan bentuk seni baharu, bagi mewujudkan ruang untuk pelbagai suara dan audiens,” katanya.

Beliau berkata pendidikan dan pembangunan penonton menjadi tunjang kepada apa yang dilakukan, dengan program-program untuk golongan muda, keluarga dan artis baharu yang mampu memupuk rasa ingin tahu serta membina penonton masa hadapan.

“Pusat seni persembahan ini dicetuskan sebagai lebih daripada sekadar sebuah pentas. Ia adalah tempat untuk meneroka, berkumpul dan berhubung melalui kisah-kisah yang kita kongsi bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan