Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Krisis Bekalan Global: Dokumentasi Benteng Kekalkan Integriti Penguatkuasaan - Pengerusi EAIC

29/04/2026 10:41 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Dokumentasi keputusan secara sistematik menjadi benteng utama dalam mengekalkan integriti agensi penguatkuasaan ketika negara berdepan krisis bekalan global susulan konflik di Asia Barat, kata Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata dalam situasi krisis yang menuntut tindakan segera dan melibatkan penggunaan peruntukan awam yang besar, setiap keputusan penguatkuasaan perlu direkod dan dilaporkan secara telus serta boleh diaudit bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa serta mengekalkan kepercayaan rakyat.

Ad Banner

"Dalam situasi krisis, dokumentasi yang lengkap bukan sekadar keperluan pentadbiran, tetapi asas kepada integriti dan akauntabiliti dalam setiap tindakan penguatkuasaan.

“Walaupun dalam keadaan terdesak, integriti kekal terpelihara apabila pegawai mempunyai garis panduan yang jelas, sekali gus mengelakkan keputusan yang bersifat berat sebelah atau berkepentingan peribadi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata tekanan terhadap bekalan tenaga sering memerlukan pelaksanaan langkah segera seperti kawalan harga, penyusunan semula subsidi dan penguatkuasaan dasar penjimatan tenaga, sekali gus meningkatkan risiko salah guna kuasa sekiranya kawalan integriti tidak diperkukuh.

Ad Banner
Ad Banner

Sehubungan itu, Ismail menegaskan setiap arahan dalam rantaian arahan mesti direkodkan secara sistematik bagi memastikan setiap tindakan dapat dijejak dan disemak semula sekiranya timbul isu ketidakpatuhan atau pertikaian.

"Setiap arahan dalam rantaian arahan mestilah direkodkan melalui mekanisme semak imbang seperti pengesahan keputusan oleh pihak kedua atau semakan silang antara pegawai dan jabatan bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengurusan aduan awam yang responsif serta perlindungan pemberi maklumat merupakan komponen kritikal dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti agensi penguatkuasaan, khususnya ketika kerajaan melaksanakan langkah kecemasan atau intervensi dasar berkaitan bekalan tenaga.

Beliau berkata dalam keadaan tertentu, pasukan pemantau khas atau task force integriti juga boleh diwujudkan bagi mempercepatkan proses semakan dan pemantauan terhadap pelaksanaan dasar atau operasi penguatkuasaan.

Mengambil contoh pengalaman pandemik COVID-19, Ismail berkata pelaksanaan audit khas terhadap perbelanjaan dan pengurusan dana awam telah membantu memastikan ketelusan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mengurus krisis secara berintegriti.

Dalam konteks perundangan, beliau berkata EAIC mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan dapatan siasatan kepada orang ramai selaras dengan Seksyen 30(5) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), yang memperkukuh prinsip ketelusan dalam sistem penguatkuasaan.

"Pada prinsipnya, dapatan siasatan akan didedahkan bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti, sekali gus mengekalkan kepercayaan awam. Walau bagaimanapun, pendedahan tersebut dilaksanakan secara berhemah dengan mengambil kira aspek kerahsiaan, kepentingan awam serta keperluan perundangan yang berkuat kuasa," jelasnya.

Beliau berkata integriti dalam pengurusan krisis bukan hanya soal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tetapi memastikan setiap kuasa yang digunakan dilaksanakan secara berhemah, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat.

"Pengajaran utamanya ialah keperluan memperkukuh pematuhan SOP, kawalan penyeliaan di lapangan serta mekanisme akauntabiliti yang berkesan bagi memastikan setiap kuasa yang digunakan semasa krisis kekal berlandaskan undang-undang, tatakelola yang betul dan integriti perkhidmatan awam," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan