| BERITA TERGEMPAR | LUBNAN RUGI SEHINGGA US$160 JUTA SEHARI AKIBAT KONFLIK - PERSATUAN EKONOMI | |
KUALA KANGSAR, 29 April (Bernama) -- Galeri Wakaf Diraja Sultan Idris Murshid-Ul-Adzam Shah yang baharu dibuka di sini menjadi platform penting dalam memperkenalkan sejarah dan perkembangan institusi wakaf diraja yang telah bertahan lebih satu abad.
Pengurus Besar Wakaf Diraja Raja Hazwan Shah Raja Danil Akhsan berkata bangunan galeri berkenaan adalah sebahagian daripada aset Wakaf Diraja di Pekan Kuala Kangsar yang merangkumi 19 unit rumah kedai.
“Daripada jumlah itu, satu unit dimanfaatkan sebagai galeri manakala selebihnya disewakan bagi menjana pendapatan yang kemudiannya diagihkan kepada penerima manfaat.
“Antara penerima manfaat itu termasuk Madrasah Idrisiah, Masjid Ridzwaniah dan Makam Diraja Al-Ghufran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah turut berkenan berangkat ke Galeri Wakaf Diraja Sultan Idris Murshid-Ul-Adzam Shah hari ini dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik serta memperkasa pembangunan institusi wakaf.
Raja Hazwan Shah berkata penubuhan galeri itu direalisasikan menerusi Geran Kuale yang dibawakan oleh Think City dengan sokongan Yayasan Hasanah.
“Galeri ini memfokuskan kepada sejarah penubuhan Wakaf Diraja, termasuk tokoh-tokoh penting yang mempelopori penubuhannya, serta bagaimana institusi ini kekal relevan sehingga hari ini.
“Sejarah Wakaf Diraja bermula dengan sumbangan signifikan oleh Tengku Permaisuri Che Uteh Mariah Sulaiman yang mewakafkan tanah dan bangunan untuk pendidikan anak yatim perempuan.
Raja Hazwan Shah berkata perkembangan itu diteruskan melalui wasiat Almarhum Sultan Idris Shah yang menyaksikan putera baginda Sultan Abdul Jalil Karamatullah Nasiruddin Muhtaram Shah bersama kerabat diraja lain mewakafkan aset peninggalan bagi manfaat rakyat.
Menurut Raja Hazwan Shah, galeri itu turut memaparkan sumbangan institusi seperti Madrasah Idrisiah yang telah melahirkan banyak ulama tersohor, termasuk Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim.
“Pengunjung boleh melihat pelbagai bahan pameran termasuk gambar lama yang jarang ditemui, karya seni berasaskan sejarah wakaf serta dokumen asal wakaf seawal 1908.
“Usaha ini diharap dapat meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan wakaf dalam pembangunan sosial, khususnya dalam bidang pendidikan dan keagamaan,” katanya.
Raja Hazwan Shah berkata galeri berkenaan dibuka secara percuma kepada orang ramai setiap hari dari 10 pagi hingga 5 petang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial