KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) akan memperluas inisiatif “Gelombang Aku Kasih Malaysia” sebagai gerakan nasional pada tahun ini bagi memperkukuh perpaduan rakyat di seluruh negara susulan tekanan krisis bekalan global.
Timbalan Ketua Pengarah (Profesional) AKM Shahrir Zaman Abdul Wahab berkata dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, usaha menyemai semangat patriotisme dan memperkasakan jati diri rakyat menerusi program itu menjadi semakin penting bagi memastikan masyarakat kekal bersatu.
“Rakyat perlu faham situasi semasa. Misalnya isu (harga) minyak susulan konflik Asia Barat bukan berpunca daripada faktor dalaman semata-mata, sebaliknya dipengaruhi oleh perkembangan luar yang perlu ditangani secara kolektif.
“Tanpa semangat cintakan negara, kita bimbang masyarakat mudah terkesan,” katanya kepada pemberita selepas Perbincangan Meja Bulat Aku Kasih Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata lebih 200 program telah dilaksanakan di bawah inisiatif berkenaan di seluruh negara setakat Januari hingga April tahun ini, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dengan sasaran capaian hingga dua juta peserta.
“Ketika ini, pelaksanaan program digerakkan melalui kira-kira 18 pusat latihan kenegaraan selain kemudahan latihan kerajaan. Namun, kita mengharapkan penglibatan lebih aktif badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluas capaian kepada masyarakat,” katanya.
Shahrir Zaman berkata program yang diperkenalkan sejak tahun lepas itu dilaksanakan menerusi pelbagai pendekatan termasuk kursus, forum, bengkel dan aktiviti lapangan, yang memberikan penekanan kepada penghayatan Rukun Negara, Perlembagaan Persekutuan serta kefahaman terhadap situasi semasa negara.
AKM, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab melaksanakan dan menyelaras latihan kenegaraan serta kepimpinan di seluruh negara, selain memperkasakan usaha memupuk semangat patriotisme, disiplin dan integriti dalam kalangan rakyat melalui pendekatan latihan lebih tersusun, sistematik dan berfokus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial