KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Kemudahan awam yang responsif terhadap gender perlu dipertingkatkan bagi menyokong penyertaan wanita dalam aktiviti fizikal dengan lebih baik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata usaha berkenaan penting kerana kekurangan dalam kemudahan awam sering tidak disedari kerana wanita kurang diwakili dalam peranan membuat keputusan.
“Bagi wanita, kekurangan kemudahan yang sesuai seperti bilik mandi boleh menjadi halangan sebenar untuk bersenam. Kita tidak boleh mengharapkan seseorang pergi bekerja dalam keadaan berpeluh tanpa kemudahan untuk membersihkan diri, dan ini adalah perkara yang perlu kita tangani.
“Jika kita mahu lebih ramai wanita bersenam di Kuala Lumpur, kita mesti mula membina kemudahan bilik mandi awam yang sesuai untuk wanita. Jika anda tidak berada di meja perbincangan, keperluan seperti ini sering terlepas pandang,” katanya.
Hannah berkata demikian semasa sesi pleno di Persidangan Hak Wanita 2026 bertajuk Together We Create PowHER: Future Issue: She Owns The Future di sini hari ini.
Sesi itu turut menampilkan Tan Sri Dr Mazlan Othman, ahli astrofizik pertama Malaysia yang berkongsi pandangan mengenai kepimpinan dan inovasi daripada perspektif saintifik.
Persidangan sehari itu menghimpunkan pembuat dasar, pengamal undang-undang serta pakar serantau bagi membincangkan hak wanita, kepimpinan dan keselamatan digital, termasuk cabaran berkaitan gangguan dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial