Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SWCorp Keluar 4,693 NPK Di Bawah Akta 672

30/04/2026 10:51 AM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Sebanyak 4,693 Notis Pemberitahuan Kesalahan telah dikeluarkan di tujuh negeri sejak pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), dikuatkuasakan pada 1 Jan lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,468 NPK dikeluarkan kepada warga tempatan dan selebihnya 1,225 warga asing, terdiri dalam lingkungan usia 14 hingga 81 tahun.

"Daripada jumlah NPK yang dikeluarkan, sebanyak 177 individu telah dikenakan hukuman PKM di tujuh negeri.

Ad Banner

"PKM bukan sekadar hukuman. la memberi ruang kepada pesalah untuk melihat sendiri kesan tindakan mereka terhadap persekitaran, sekali gus membentuk kesedaran yang lebih mendalam terhadap tanggungjawab sivik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pelaksanaan PKM Siri Ketujuh, di sini hari ini.

Khalid berkata aktiviti PKM tertumpu kepada pembersihan siar kaki, jalan, sistem saliran dan tandas awam dalam persekitaran penggunaan sebenar, sekali gus memberi pendedahan langsung terhadap impak perbuatan tidak bertanggungjawab terhadap kebersihan dan kualiti ruang awam.

Beliau berkata dalam tempoh sama sebanyak 130 penjawat awam dari pelbagai agensi telah dikenakan NPK, melibatkan 48 peratus kumpulan pelaksana, 35 peratus sektor keselamatan dan beruniform serta 15 peratus kumpulan pengurusan dan profesional. 

Ad Banner
Ad Banner

"Perkembangan ini menunjukkan bahawa isu ketidakpatuhan merentasi semua peringkat dan memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang lebih tegas dan bersepadu.

"Sehingga kini, sembilan penjawat awam telah dijatuhi hukuman PKM oleh mahkamah, mencerminkan pelaksanaan undang-undang yang progresif serta berperanan sebagai mekanisme pembetulan tingkah laku," katanya.

Mengenai pesalah bawah umur, Khalid berkata 10 individu berusia 14 hingga 18 tahun telah dikenakan NPK, dan antara kesalahan dilakukan ialah membuang tisu, kotak minuman dan botol minuman.

"Kes mereka dikendalikan mengikut prosedur khas apabila mahkamah menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut dan modul pemulihan bersesuaian," katanya.

Di Putrajaya, beliau berkata empat pesalah terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga asing, berusia antara 24 hingga 34 tahun, diarah melaksanakan kerja pembersihan di sekitar Presint 2, di sini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan