Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Angkat Pantun Sebagai Kandungan Pemberitaan, Perkaya Kaedah Penyampaian Maklumat

30/04/2026 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Puisi lama Melayu, iaitu pantun disaran untuk diangkat sebagai satu daripada elemen dalam kandungan pemberitaan bagi memperkaya kaedah penyampaian maklumat dalam dunia kewartawanan semasa.

Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak berkata pendekatan itu membuka ruang kepada pengolahan kandungan berita yang lebih kreatif tanpa menjejaskan ketepatan fakta, selari dengan keperluan industri media yang semakin dinamik.

Mohd Shukri yang juga Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata pantun boleh berfungsi sebagai pengantara penyampaian maklumat, sekali gus membantu wartawan mempelbagaikan gaya penulisan dan kandungan berita dalam era digital yang kompetitif.

Ad Banner

“Kita berharap ia menjadi satu usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di pentas kewartawanan. Pantun juga boleh digunakan sebagai pengantara untuk menyampaikan maklumat, dan diolah dalam kandungan berita bagi menjadikannya lebih berinformasi serta bermaklumat kepada pengguna serta masyarakat,” katanya kepada Bernama selepas Sesi Taklimat dan Cabutan Undi Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026, di sini hari ini.

Pesta Pantun HAWANA-DBP 2026 anjuran Bernama dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan berlangsung pada 9 Mei ini di Panggung Sari, Kompleks Kraf Jalan Conlay, dan adalah antara pengisian awal menuju kemuncak sambutan HAWANA 2026 pada Jun. 

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 bagi juara, RM2,000 untuk naib juara dan RM1,000 bagi tempat ketiga, selain trofi dan sijil penyertaan.

Ad Banner
Ad Banner

Mengulas mengenai tema “Kewartawanan dan Teknologi” bagi pesta pantun kali ini, Mohd Shukri berkata ia dipilih bagi mencerminkan cabaran semasa industri media yang semakin dipacu oleh perkembangan teknologi.

Beliau berkata jika dahulu penyampaian maklumat lebih bersifat konvensional, namun kini penggunaan teknologi  dalam kalangan wartawan bagi menyampaikan maklumat menjadi semakin dominan.

Justeru, beliau berharap tema itu dapat mendorong peserta pesta pantun mengungkapkan mesej yang lebih bermakna berkaitan cabaran kewartawanan serta penggunaan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam bidang kewartawanan.

Sementara itu, Ketua Juri Pesta Pantun HAWANA-DBP Azimin Daud berkata penganjuran musim kedua pertandingan berkenaan mencerminkan usaha berterusan Bernama dalam mengangkat pantun sebagai medium komunikasi yang berkesan.

Beliau berkata peserta diharap dapat menampilkan pantun yang lebih segar, jelas dari segi makna serta selari dengan tema yang diketengahkan.

Azimin yang juga Perancang Bahasa Akademi DBP berkata pantun turut berperanan memupuk penggunaan bahasa Melayu yang lebih santun dalam kalangan pengamal media, di samping memperkukuh identiti bahasa kebangsaan dalam dunia kewartawanan moden.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan