| BERITA TERGEMPAR | Thomas Cup: China 2 Malaysia 0: Liang Wei Keng-Wang Chang bt Aaron Chia-Soh Wooi Yik 24-22, 21-14 | |
KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Kurikulum prasekolah di semua institusi kerajaan dan swasta perlu diseragamkan bagi memastikan kualiti pendidikan awal kanak-kanak yang setara, menurut pakar pendidikan Profesor Datin Dr Mariani Md Nor.
Pemangku Naib Canselor Universiti SEGi itu berkata cadangan tersebut antara tujuh resolusi yang dikemukakan beliau pada Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata ketika ini, terdapat pelbagai kategori tadika seperti KEMAS, Perpaduan dan swasta yang menggunakan kurikulum berbeza sedangkan perbincangan menyeluruh telah dilakukan semasa merangka kurikulum prasekolah kebangsaan.
"Apa kata kita seragamkan kurikulum tersebut dan hapuskan 'kasta' dalam pendidikan prasekolah," katanya semasa menjadi panel Sesi 3: Memperkasa Pendidikan Prasekolah.
Mariani turut menyarankan agar kerajaan mengangkat martabat guru prasekolah sebagai profesion rasmi, menyamai sistem pendidikan luar negara yang meletakkan kerjaya itu di peringkat tinggi termasuk sehingga ke tahap kedoktoran.
Beliau turut mencadangkan agar pemantauan kompetensi guru dilakukan secara berterusan dan pengukuhan sistem sokongan ibu bapa terutama bagi kanak-kanak yang memerlukan perhatian khusus.
"Justeru, perlu ada pengukuhan sistem intervensi supaya anak-anak ini dapat dikesan di peringkat awal dan membolehkan kita membimbing mereka sama seperti kanak-kanak normal," katanya.
Mariani juga menyarankan pelaksanaan pendidikan bersepadu melalui kaedah Pengetahuan Kandungan Pedagogi Teknologi menggunakan teknologi maklumat di samping menekankan persekitaran pembelajaran inklusif dan berkualiti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial