Oleh Amirul Mohd Sajadi
JEDDAH, 3 Mei (Bernama) -- Rakyat Malaysia diingatkan tidak mudah terperdaya dengan tawaran perkhidmatan badal haji meragukan terutama yang ditawarkan pada harga luar biasa rendah berbanding kos sebenar ibadah itu.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata kos menunaikan haji adalah tinggi, justeru sebarang tawaran tidak munasabah dikhuatiri tidak memenuhi rukun serta wajib haji yang ditetapkan.
“Sekiranya perkhidmatan badal haji ditawarkan dengan kos terlalu murah, kita perlu berhati-hati kerana ia mungkin melibatkan perkara yang tidak memenuhi syarat ibadah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas ketibaan kumpulan pertama jemaah di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz di sini hari ini.
Tengku Mohd Dzaraif berkata bagi pakej haji domestik di Arab Saudi sendiri, kos minimum ialah kira-kira RM9,000 hingga RM10,000.
“Jika ada tawaran di bawah julat ini, ia mungkin tidak logik atau meragukan,” katanya.
Tengku Mohd Dzaraif berkata setakat ini tiada laporan diterima melibatkan rakyat Malaysia berhubung penipuan badal haji, namun kes yang dilaporkan media tempatan melibatkan negara lain membuktikan kegiatan itu masih berlaku.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai membuat semakan teliti dan tidak terburu-buru melakukan bayaran kepada pihak yang menawarkan perkhidmatan tersebut.
Terdahulu, sebanyak 276 jemaah kumpulan KT48 menerusi penerbangan pertama terus Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah tiba pada 4.40 pagi waktu tempatan (9.40 pagi waktu Malaysia).
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jemaah mengenai penguatkuasaan ketat kerajaan Arab Saudi menjelang musim haji termasuk pemeriksaan permit melalui sistem Nusuk bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai visa sah dibenarkan berada di Makkah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial