Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

268 Rumah Dibina Kepada Golongan Memerlukan Setakat Ini - Zulkifli

03/05/2026 03:23 PM

JERTIH, 3 Mei (Bernama) -- Program Sinar Lestari di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), terus memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan, dengan sebanyak 268 buah rumah telah dibina setakat ini di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pembinaan rumah dengan kos RM80,000 setiap satu itu, turut menerima kerjasama rakan strategik bagi memberi kediaman lebih selesa kepada golongan memerlukan.

“YAPEIM merancang pembinaan sebanyak 374 buah rumah di seluruh negara sejak tahun 2020. Setakat ini sebanyak 268 buah rumah telah siap dibina dan kini usaha diteruskan bagi melengkapkan keseluruhan sasaran tersebut.

Ad Banner

“Alhamdulillah, pelaksanaan setakat ini berjalan dengan baik dan baki projek sedang giat disiapkan. Di Terengganu sahaja, sebanyak 35 buah rumah telah dilaksanakan dengan nilai keseluruhan hampir RM2 juta. 

“Program Sinar Lestari telah memberi banyak manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia. Insya-Allah, usaha ini akan terus diperkasakan. Malah sinergi bersama Yayasan Diraja Sultan Mizan turut memperkukuh pelaksanaan program tersebut,” katanya selepas Majlis Penyerahan Rumah Bina Baharu Program Sinar Lestari YAPEIM-Yayasan Diraja Sultan Mizan di Kampung Tok Dor Dalam di sini hari ini.

Zulkifli berkata tempoh pembinaan rumah di bawah program itu juga, dilaksanakan secara pantas dengan mengambil masa selama empat bulan sebagai usaha memastikan bantuan dapat disalurkan segera kepada golongan sasar.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam pada itu, beliau berkata sinergi antara YAPEIM dan Yayasan Diraja Sultan Mizan, turut memperkukuh pelaksanaan program Sinar Lestari yang bukan sahaja menyediakan tempat tinggal, malah membantu meningkatkan taraf hidup penerima.

“Program ini bukan sekadar membina rumah, tetapi kita turut menyediakan geran serta sokongan keusahawanan kepada penerima bagi menjana pendapatan.

“Sebagai contoh, penerima hari ini iaitu Mohd Kamal Yaakob mempunyai perancangan untuk membuka bengkel kereta dan motosikal, sebagai sumber pendapatan keluarga,” katanya.

Sementara itu, penerima rumah baharu Siti Rosaida Abdul Rahman, 37, berkata dia dan suaminya Mohd Kamal Yaakob, 44, menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.

“Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dengan bantuan diterima kerana sebelum ini saya sekeluarga terpaksa menyewa sebuah bilik berkeluasan 12x12 kaki persegi pada kadar kira-kira RM200 sebulan dan tinggal berhimpit dalam satu bilik kecil selama hampir tiga tahun.

“Kami hanya tidur beralaskan toto sepanjang tempoh tersebut. Alhamdulillah, kini kehidupan kami berubah apabila menerima sebuah rumah baharu yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air. Terima kasih kerajaan atas bantuan diberikan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan