Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penyusunan Semula Perbelanjaan Tidak Jejas Sektor Kesihatan, Pendidikan - PM Anwar

04/05/2026 11:29 AM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan tidak menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata pengambilan doktor dan jururawat baharu serta pembinaan klinik tidak terkesan, manakala projek pembinaan sekolah termasuk penambahan kelas baharu bagi menampung kemasukan pelajar juga diteruskan seperti dirancang.

"Pengambilan doktor, jururawat itu tak terjejas, pembinaan klinik tak terkesan, cuma skop hospital yang mewah itu kurangkanlah," kata beliau.

Ad Banner
Ad Banner

Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, di sini hari ini.

Selain itu, Anwar berkata walaupun perbelanjaan Kementerian Pendidikan itu dikurangkan tetapi pembinaan kelas-kelas baharu untuk kemasukan pelajar sekarang tidak terjejas.

Justeru, Anwar menemplak sikap pihak tertentu yang tanpa berasaskan fakta cepat melenting berkenaan langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan itu.      

Ad Banner
Ad Banner

Anwar menjelaskan penjimatan tertumpu kepada perbelanjaan yang dianggap berlebihan termasuk penganjuran kursus di luar negara, majlis di hotel mewah serta projek pembangunan yang melangkaui keperluan sebenar.

Beliau berkata kursus yang boleh dilaksanakan dalam negara akan diadakan secara tempatan, manakala majlis rasmi kini digalakkan diadakan di premis kementerian bagi mengurangkan kos.

"Majlis-majlis di hotel-hotel mewah dihentikan, dibuat di kementerian. Skop pembinaan yang melebihi keadaan biasa itu dikurangkan," katanya.

Pada 29 April lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa panduan telah dikeluarkan kepada kementerian dan agensi untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.

Langkah itu adalah sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimumkan sumber kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan