Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MyNIISe Dilaksana Sepenuhnya September Ini - Saifuddin Nasution

04/05/2026 02:04 PM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) akan dilaksanakan sepenuhnya pada September ini seiring peningkatan ciri keselamatan MyKad, dalam usaha memperkukuh sistem identiti negara serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu akan menjadi detik penting bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkemas pengurusan identiti negara serta memastikan pergerakan rakyat dapat dilaksanakan secara lebih lancar dan teratur.

Beliau berkata dokumen baharu itu melibatkan kad pengenalan dan pasport yang dilengkapi ciri keselamatan terkini, selaras dengan keperluan semasa dan cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

Ad Banner

"Saya percaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia sudah bersedia dengan pelan A dan pelan B.

“Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah dengan baik kerana sampai satu tempoh, kita kena mengeluarkan dokumen yang baharu sifatnya, dengan ciri keselamatan yang lebih baik dan kita telah berusaha sekian lama untuk ke arah itu,”  katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan KDN di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga sudah bergerak jauh apabila sistem ini menyediakan semua prasyarat atau enabler sebelum ia diluncurkan September ini untuk membolehkan pengisian maklumat permohonan kewarganegaraan seperti yang diluluskan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Ad Banner
Ad Banner

Media sebelum ini melaporkan KDN dalam usaha melaksanakan kerja naik taraf dan migrasi data bagi MyNIISe untuk memperkukuh keselamatan data dan meningkatkan kecekapan sistem demi memastikan perkhidmatan imigresen yang lebih stabil, cekap serta mesra pengguna.

MyNIISe akan menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang telah digunakan lebih 20 tahun kerana sistem lama itu tidak lagi mencukupi untuk menangani cabaran keselamatan global, volum pergerakan yang tinggi, serta keperluan integrasi data semasa.

Saifuddin Nasution pada Januari berkata Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu dalam tempoh enam bulan lagi sebagai sebahagian usaha memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen KDN dalam memastikan sistem yang lebih efisien serta mampu menangani isu dan aduan rakyat berkaitan pengurusan identiti.

"Saya berbangga kerana mempunyai satu pasukan yang sangat berdisiplin, kemas dari segi perancangan dan perubahan yang kita buat sudah menuju ke penghujung untuk dapat dirasai oleh rakyat," katanya.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution turut menekankan kepentingan aspek keselamatan sempadan serta kecekapan sistem imigresen dalam menguruskan kemasukan dan pergerakan keluar masuk negara.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam memastikan sistem imigresen dan keselamatan negara berada pada tahap terbaik, sejajar dengan peningkatan pergerakan dan ancaman keselamatan global.

"Sebab pada saya, ini sebagai satu KPI (petunjuk prestasi utama) yang penting buat KDN tahun ini. Sempadan negara tak boleh dibolosi dengan pelbagai sindiket yang membelakangkan undang-undang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan