KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Krisis bekalan global akibat konflik geopolitik di Asia Barat memberi isyarat jelas bahawa Malaysia perlu beralih daripada kebergantungan terhadap bahan api fosil kepada tenaga boleh baharu (TBB).
Pengarah Eksekutif Institut Asia-Eropah Universiti Malaya Profesor Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah berkata ketika ini, bekalan tenaga negara daripada sumber yang boleh diperbaharui hanya 20 peratus, dengan dua peratus daripada tenaga suria dan angin manakala 18 peratus lagi daripada kuasa hidro.
“Usaha mengurangkan kebergantungan kepada minyak fosil di Malaysia buat masa ini berkembang terlalu perlahan.
“Kita perlu bertukar daripada bahan api fosil kepada TBB seperti tenaga suria atau angin, seperti mana yang dilakukan oleh negara-negara maju dan Indonesia,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Beliau berkata usaha mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau perlu dipertingkatkan sejajar komitmen global terhadap pengurangan pelepasan karbon dan sasaran karbon neutral menjelang 2050.
Dalam pada itu, Rajah tidak menolak kemungkinan konflik geopolitik di Asia Barat ketika ini boleh menyebabkan situasi “darurat tenaga”.
Beliau berkata keadaan itu semakin ketara apabila harga minyak dunia melonjak kira-kira USD100 setong, berbanding sekitar USD50 sebelum ini, sekali gus meningkatkan beban subsidi kerajaan.
“Sebagai pengimport bersih minyak, kita menghadapi masalah kerana harganya melambung tinggi mencecah USD100 setong. Malaysia menggunakan kira-kira 700,000 tong minyak setiap hari,” katanya.
Beliau berkata kebergantungan negara terhadap import minyak kini mencecah kira-kira 50 peratus daripada permintaan domestik, menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos tinggi bagi mengekalkan harga bahan api bersubsidi seperti RON95 pada RM1.99 seliter.
Menyentuh kesan kepada golongan berpendapatan rendah, beliau berkata mekanisme subsidi bersasar perlu diperkukuh bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.
“Masalahnya sekarang, selagi seseorang itu warga Malaysia, dia menikmati harga subsidi yang sama di stesen minyak tidak kira berapa pendapatannya. Ini perlu difikirkan semula. Kita harus melindungi yang miskin, bukannya memberi subsidi sama rata kepada semua,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial