LIPIS, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) sedang menjalankan kajian pembangunan telaga tiub sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan krisis air pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) bagi mengenal pasti sumber air baharu sebagai pelan sokongan sekiranya berlaku gangguan bekalan air.
“Ketika ini, kita berdepan cuaca yang tidak menentu dan taburan hujan yang rendah. Berdasarkan ramalan, cuaca panas dijangka berterusan hingga Ogos dan ini boleh memberi kesan kepada sumber air.
“Bagaimanapun, melalui usaha semua agensi terlibat, bekalan air di seluruh negara masih berada dalam keadaan terkawal. Namun, pengguna perlu memainkan peranan penting dalam mengurangkan pembaziran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Selamat Air Raya di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Pada 21 Mac lepas, media melaporkan Institut Air, Alam Sekitar dan Kesihatan Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU-INWEH) memberi amaran dunia kini sedang memasuki era “kebankrapan air global”.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata penggunaan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan adalah lebih tinggi, iaitu sekitar 223 liter per kapita sehari berbanding penggunaan air yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 165 liter per kapita sehari.
“Penggunaan air yang tinggi ini perlu dikurangkan, jika masyarakat tidak bersama-sama memainkan peranan, kita berdepan risiko berlakunya krisis air. Semua pihak perlu bertanggungjawab bagi memastikan perkara ini dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut melaksanakan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dengan sasaran capaian minimum sejuta pengguna di seluruh negara sepanjang 2026.
“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kecekapan penggunaan air serta kepentingan mengelakkan pembaziran bagi menjamin kelestarian bekalan air negara,” katanya.
Pada program itu, SPAN turut menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM104,000 kepada 200 pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial