KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Rangkaian pasar raya global, Lulu Hypermarket, menyatakan komitmen untuk membeli dan memasarkan produk halal usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bernilai USD100 juta (kira-kira RM470 juta) bagi pasaran antarabangsa bermula 1 Julai depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata komitmen tersebut dinyatakan sendiri pemilik rangkaian pasar raya tersebut, Yusuff Ali dalam satu pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lepas.
Justeru, Ahmad Zahid berkata beliau mengarahkan pengurusan tertinggi MARA untuk segera menyelaras produk-produk usahawan bimbingannya bagi memenuhi permintaan pasaran dunia, khususnya di rantau Timur Tengah menerusi rangkaian pasar raya berkenaan.
“Saya menyatakan kepada beliau (Yusuff Ali) di depan Perdana Menteri, jangan lihat kanan, jangan lihat kiri, mesti bekerjasama dengan MARA untuk membeli produk-produk halal ini untuk pasaran dunia.
“Beliau mahu melakukannya mulai 1 Julai tahun ini juga bagi memasarkan produk-produk tersebut," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Ekosistem Halal MARA di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata susulan peluang pasaran yang luas itu, beliau meletakkan sasaran lebih tinggi agar nilai potensi jualan halal antarabangsa MARA mampu melepasi angka RM1 bilion menjelang tahun hadapan.
Beliau berkata sasaran itu realistik memandangkan usahawan MARA telah membuktikan keupayaan dengan mencatatkan potensi transaksi jualan mencecah RM819 juta dalam platform antarabangsa tahun ini.
“Kalau tahun ini kita mampu mencatat RM819 juta, saya mahu tahun hadapan MARA melepasi sasaran RM1 bilion nilai potensi jualan di pasaran antarabangsa. Pada masa yang sama, saya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 usahawan lagi memperoleh pensijilan halal pada tahun ini,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata pelancaran Ekosistem Halal MARA bertujuan mewujudkan rantaian lengkap merangkumi latihan, pensijilan, pembiayaan dan infrastruktur bagi memastikan usahawan bumiputera tidak sekadar menjadi pemerhati, malah menguasai pasaran halal global.
Bagi memperkukuh ekosistem berkenaan, Ahmad Zahid turut mengumumkan sasaran untuk melahirkan tambahan 30 Eksekutif Halal dan 30 Juruaudit Halal Dalaman dalam kalangan pegawai MARA bagi memberikan bimbingan teknikal yang lebih efisien kepada usahawan.
Pada majlis itu, turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MARA dan Maybank Islamic Berhad bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan kapasiti usahawan, pembangunan industri halal, akses pembiayaan dan penembusan pasaran.
Selain itu, Surat Niat (LOI) turut diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi memperkasa latihan, pensijilan dan pembangunan kompetensi halal dalam kalangan usahawan serta institusi latihan MARA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial