PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Kerajaan akan memperkukuh kerangka perundangan melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Survei Geologi dan Geosains di Parlimen menjelang 2027, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata ia akan disusuli dengan penggubalan Dasar Geosains Negara iaitu langkah berkenaan merupakan satu anjakan besar yang bakal membawa impak positif kepada masa depan negara.
“Matlamat NRES (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) adalah untuk memastikan Malaysia terus memacu pembangunan yang seimbang, berdaya tahan terhadap bencana serta selamat untuk didiami oleh generasi akan datang dan kami komited untuk meletakkan penyelidikan geosains di barisan hadapan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Ahli Geologi (HAG) Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Arthur berkata ahli geologi turut disaran mengaplikasikan teknologi moden seperti robotik dan kecerdasan buatan seiring dengan kemajuan inovasi, dengan mengambil kira penggunaan teknologi mampu mempercepat kajian dan meningkatkan ketepatan analisis.
“Kita juga melihat perkembangan positif dalam rantaian nilai sektor mineral iaitu projek perintis seperti perlombongan REE (unsur nadi bumi) secara ‘in-situ leaching’ (larut resap in situ) di Perak membuktikan teknologi mesra alam mampu berjalan seiring dengan pemeliharaan biodiversiti,” kata Arthur.
Selain itu, beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), NRES melalui agensi teknikal telah melaksanakan pemantauan ketidakstabilan cerun secara menyeluruh.
“Kajian ini telah siap di lapan lokaliti berisiko tinggi dan kini diperluas ke 12 kawasan baharu. Selain itu, sebanyak 34 sistem amaran awal tanah runtuh telah berjaya dipasang di cerun kritikal sebagai langkah proaktif untuk melindungi nyawa rakyat,” katanya.
Sambutan HAG 2026 yang julung kali diadakan merupakan hasil kerjasama Lembaga Ahli Geologi Malaysia (BoG) bersama Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Institut Geologi Malaysia (IGM) dan Persatuan Geologi Malaysia (GSM).
Mengangkat tema “Geologi Memacu Ekonomi, Melindungi Komuniti, Asas Pembangunan Lestari”, sambutan itu menegaskan peranan strategik geologi bukan sahaja sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi berasaskan sumber, malah sebagai benteng keselamatan awam melalui pengurusan risiko geobencana yang lebih bersepadu dan berasaskan data dan fakta sains.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial