IPOH, 4 Mei (Bernama) -- Perak Culinary Arts Academy @ Kolej Komuniti Chenderoh (PCAA@KKCP) terus mengharumkan nama negara apabila meraih tiga anugerah Best of Class pada pertandingan kulinari antarabangsa Bali Salon Culinaire 2026 yang berlangsung di Bali, Indonesia, baru-baru ini.
Pertandingan edisi ke-13 yang berlangsung dari 28 hingga 30 April lepas, menghimpunkan lebih 700 peserta daripada pelbagai negara termasuk Taiwan, Korea Selatan, Filipina, Sri Lanka, Indonesia, Malaysia dan Singapura.
PCAA@KKCP memaklumkan pihaknya diwakili dua pensyarah iaitu Khairul Ashikhin Abdullah Suhami dan Shawal Fikri Sihab yang bertanding dalam kategori Professional Chef.
Dalam pertandingan itu, Khairul Ashikhin menyertai tiga kategori, manakala Shawal Fikri bertanding dalam satu kategori, menjadikan keseluruhan empat kategori disertai oleh pasukan berkenaan.
"PCAA@KKCP berjaya membawa pulang tiga anugerah Best of Class, dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa, malah antara kejayaan utama dicapai ialah anugerah Best of Class bagi kategori Asian Curry menerusi Shawal Fikri yang turut menerima trofi dan Sango Plate.
"Khairul Ashikhin pula merangkul dua lagi anugerah Best of Class menerusi kategori Vegan International serta Western Beef Main Course, selain menerima trofi, Chef Knife dan Sango Plate," menurut kenyataan itu.
PCAA@KKCP turut memaklumkan pencapaian itu mencerminkan dedikasi dan komitmen tinggi institusi berkenaan dalam melahirkan graduan berdaya saing serta cemerlang dalam bidang kulinari di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan ini juga diharap menjadi inspirasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan global dalam bidang kulinari.
"PCAA@KKCP turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju dalam melahirkan bakat kulinari bertaraf dunia serta menjadi wakil Malaysia yang disegani di pentas antarabangsa," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial