Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKM Mohon Pelarasan Perbelanjaan Dinilai Semula, Tidak Libat Perkhidmatan Teras

04/05/2026 08:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) memohon agar cadangan pelarasan dan pemotongan perbelanjaan melibatkan kementerian itu dinilai semula supaya tidak menjejaskan perkhidmatan teras kepada rakyat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima permohonan KKM supaya cadangan pemotongan sebanyak RM3.04 bilion oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) tidak dilaksanakan seperti dicadangkan.

"Justeru, saya telah pun menyebutkan kepada Ketua Setiausaha dan pasukan supaya segera memajukan cadangan kami (KKM) , termasuk mengenal pasti  jika perlu potongan, hanya perkara-perkara yang tidaklah (terkait) perkhidmatan penting mahupun yang terkait dengan sumber manusia.

Ad Banner
Ad Banner

“Kalau boleh jangan ada pemotongan langsung, tapi kalau perlu pun dibuat potongan, ia tidak boleh menjejaskan perkhidmatan penting dan kebajikan rakyat, khususnya rawatan yang perlu diberikan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak projek Klinik Kesihatan Menjalara di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.

Dzulkefly berkata pemotongan perbelanjaan itu tidak akan melibatkan aspek pembangunan penting yang menjejaskan kelangsungan pembinaan fasiliti kesihatan di bawah KKM.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, beliau berkata fasa pembangunan projek Klinik Kesihatan Menjalara dijangka bermula pada 2028 membabitkan kos RM85.9 juta dan disasarkan siap pada Januari 2032.

Menurut beliau, projek yang dibina di atas tapak seluas 2.04 ekar itu akan memberi manfaat kepada kira-kira  256,000 penduduk meliputi Parlimen Segambut, sebahagian Parlimen Batu serta sebahagian kawasan Damansara.

"Klinik ini juga dijangka dapat membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti sedia ada, termasuk bagi menampung keperluan populasi di kawasan Menjalara sendiri yang dianggarkan sekitar 110,000 orang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan