Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Masjid Tidak Boleh Jadi Medan Perbalahan - Raja Muda Kedah

05/05/2026 12:57 PM

ALOR SETAR, 5 Mei (Bernama) -- Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah masjid tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai medan perbalahan dan tempat menyemai bibit-bibit perpecahan, sebaliknya mesti kekal sebagai tempat yang menyatukan masyarakat.

Sehubungan dengan itu, baginda menitahkan sebarang unsur politik hendaklah dijauhkan sepenuhnya dari ruang masjid, sama ada dalam bentuk ucapan, ceramah mahupun perbincangan tidak rasmi yang boleh mencetuskan ketegangan.

“Sebarang penganjuran program politik oleh mana-mana pihak dalam apa jua bentuk sekalipun di premis masjid dan surau adalah tidak dibenarkan.

Ad Banner
Ad Banner

“Ingatlah bahawa apabila masjid terpelihara daripada perpecahan, maka masyarakat di luar juga akan lebih aman dan bersatu,” titah baginda pada Seminar Pemerkasaan Institusi Masjid Negeri Kedah di sini, hari ini.

Tengku Sarafudin Badlishah yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) turut menekankan kepentingan jawatankuasa masjid untuk memainkan peranan secara aktif dan bertanggungjawab dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang memberikan manfaat kepada kariah.

Titah baginda, pengurusan kewangan hendaklah dilaksanakan dengan telus, teratur dan betul serta mengelakkan sebarang bentuk salah guna kuasa atau kecuaian yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi masjid.

Ad Banner
Ad Banner

Baginda turut mengingatkan agar semua pihak sentiasa mematuhi arahan serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh MAIK dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah termasuklah Garis Panduan Penggunaan Pembesar Suara di Masjid dan Surau.

“Semua Imam dan Jawatankuasa Kariah hendaklah memastikan agar garis panduan tersebut dipatuhi sepenuhnya. Sebagai contoh, laungan azan sewajarnya digunakan pembesar suara luar, manakala bagi ceramah, kuliah dan lain-lain hendaklah menggunakan pembesar suara dalam dengan kadar bunyi yang bersesuaian.

“Perkara ini mungkin kelihatan kecil, namun memberikan kesan besar kepada keharmonian masyarakat setempat. Gunakanlah kemudahan yang ada dengan penuh hikmah, mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengelakkan sebarang gangguan yang tidak perlu,” titah baginda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan