Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Melaka Sasar 28 DUN Dilengkapi Rumah Transit Menjelang 2028

05/05/2026 02:48 PM

MELAKA, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka menyasarkan kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dilengkapi program Rumah Transit menjelang 2028.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata setakat ini 10 unit Rumah Transit telah siap dan dalam pembinaan dengan kos keseluruhan kira-kira RM640,000.

Beliau berkata setiap unit rumah jenis sesebuah berkeluasan 800 kaki persegi itu akan diperluas ke baki 18 DUN secara berperingkat.

Ad Banner
Ad Banner

“Kerajaan negeri komited menyiapkan projek ini dalam tempoh ditetapkan, namun beberapa aspek termasuk kos semasa perlu diteliti,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Rumah Transit DUN Ayer Molek di sini, hari ini.

Beliau berkata program di bawah inisiatif ‘1 DUN 1 Rumah Transit’ itu telah dilaksanakan di beberapa kawasan termasuk Tanjung Bidara, Paya Rumput, Taboh Naning, Merlimau, Duyong, Lendu, Pengkalan Batu, Pantai Kundur, Serkam dan Ayer Molek.

Rais berkata inisiatif menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) itu bertujuan membantu mangsa bencana seperti kebakaran dan ribut yang kehilangan tempat tinggal secara tiba-tiba.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata inisiatif dilaksanakan menerusi LPM itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya mangsa kebakaran, ribut dan kecemasan lain yang kehilangan tempat tinggal secara tiba-tiba.

“Rumah Transit disediakan secara percuma termasuk utiliti yang ditanggung Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) bagi tempoh sementara, lazimnya sehingga sebulan,” katanya.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap ADUN Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman berkata kemudahan itu penting bagi memastikan mangsa mendapat tempat tinggal lebih selesa berbanding penempatan sementara sebelum ini.

Katanya sebelum ini mangsa ditempatkan di balai raya atau rumah sewa yang kurang selesa serta melibatkan kos tambahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan