KUALA TERENGGANU, 5 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah meluluskan peruntukan bernilai hampir RM22.9 juta bagi pelaksanaan sembilan projek di Terengganu bagi tempoh 1 Jan hingga April lepas.
Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu melibatkan komponen pembinaan baharu, naik taraf dan penambahbaikan kemudahan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri berkenaan.
Beliau berkata antara projek tersenarai ialah membina dan menaik taraf kemudahan pelancongan di Taman Negeri Pulau Bidong, Kuala Nerus; membina jeti pelancongan awam ke Pulau Tenggol dan kemudahan lain di mukim Dungun; menaik taraf kemudahan pelancongan sedia ada di Hulu Kekabu, mukim Guntung, Setiu serta menambah baik keseluruhan papan tanda dan laluan dalam Taman Tamadun Islam, di sini.
"Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 lepas, MOTAC telah meluluskan 76 projek dengan peruntukan berjumlah RM31.26 juta di Terengganu," katanya pada majlis penyerahan Projek Kampung Budaya Terengganu dan Penyerahan Projek Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) Lembaga Muzium Negeri Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu Sulaiman Sulong serta Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu Datuk Tengku Mohd Ariffin Tengku A.Rahman.
Dalam pada itu, Shaharuddin berkata projek Kampung Budaya Terengganu dan PPUN Lembaga Muzium Negeri Terengganu bernilai kira-kira RM5.2 juta itu bukan sekadar pembangunan fizikal semata-mata, tetapi juga satu usaha penting dalam memelihara, memartabat serta memperkukuh warisan budaya Terengganu.
Beliau berkata dengan penambahbaikan kemudahan lebih moden, selamat dan selesa, Kampung Budaya Terengganu akan berkembang menjadi destinasi pelancongan lebih menarik dan berdaya saing, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta industri pelancongan negeri.
"Kampung Budaya ini berperanan sebagai platform memperkenalkan keunikan seni, adat resam, seni bina tradisional serta cara hidup masyarakat tempatan kepada generasi akan datang.
“Di kesempatan ini saya mewakili kementerian ingin mengingatkan agar kemudahan ini dijaga serta diselenggara dengan baik bagi mengelak kebergantungan kepada peruntukan Kerajaan Persekutuan," katanya.
Projek Kampung Budaya Terengganu serta PPUN Lembaga Muzium Negeri merangkumi beberapa komponen iaitu Dewan Laman Warisan, wakaf, laluan pejalan kaki, jejambat pejalan kaki, tandas, Rumah Nelayan, Rumah Bujang Selasar, Rumah Bujang Berkembar, Rumah Limas Belanda, Rumah Tele dan Istana Tengku Long.
Projek yang diluluskan di bawah Peruntukan Mengurus Khas Kementerian Kewangan Malaysia (COVID-19) itu mula dibina pada 24 Mei 2023 dan siap sepenuhnya pada 3 Mac lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial