KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Sebanyak lapan keluarga golongan asnaf di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak di sini menerima bantuan berjumlah RM85,600 menerusi Program Baiki Kediaman Asnaf 2026, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata peruntukan RM10,700 bagi setiap rumah itu disumbangkan Pemegang Wakalah yang terlibat, Sun Life Malaysia Takaful Berhad.
"Untuk projek bersama Sun Life Malaysia Takaful Berhad, peruntukan bukan sahaja bagi dana make over (ubah suai) rumah namun turut disekalikan dengan sumbangan Bakul Rezeki serta bantuan tunai," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat penerima bantuan itu di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Mohd Nizam Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Takaful Berhad Noor Azam Mohd Yusof.
Zulkifli berkata program membaiki rumah akan diteruskan oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bersama pembayar zakat, sebagai usaha memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka yang memerlukan.
Justeru, katanya pembayar zakat korporat dan individu diseru bersama-sama melaksanakan kerjasama menerusi program kebajikan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata selain bantuan membaiki rumah menerusi program itu, MAIWP turut memberi bantuan umum termasuk bantuan kewangan bulanan sebanyak RM500 dan bantuan sewa rumah RM124 kepada golongan asnaf.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial