Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tengku Permaisuri Selangor Titah Rakyat Ambil Iktibar Ketegangan Geopolitik Global 

06/05/2026 12:42 PM

SHAH ALAM, 6 Mei (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan keprihatinan terhadap ketegangan geopolitik global sedang berlaku, yang bukan sahaja meragut nyawa tetapi turut berpotensi menjejaskan kestabilan ekonomi, sosiopolitik dan kesejahteraan sejagat.

Baginda yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah keadaan itu seharusnya menjadi iktibar kepada semua agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, cakna akan keperluan negara serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan penuh kebijaksanaan dan tanggungjawab.

“Saya juga menyeru seluruh rakyat untuk mendoakan agar negara kita serta negara serantau, sentiasa dilindungi daripada sebarang kesan buruk akibat pergolakan yang berlaku,” titah baginda pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104, Sidang Pertama, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Sehubungan itu, baginda turut mengingatkan graduan supaya sentiasa bersedia menyesuaikan diri, berfikiran kritis serta berdaya saing dalam mendepani era kepesatan teknologi dan perubahan landskap ekonomi global, tanpa mengabaikan nilai adab, integriti dan tanggungjawab dalam mengejar kemajuan.

Tengku Permaisuri Norashikin bertitah kemajuan ketamadunan sesebuah masyarakat amat bergantung kepada perkembangan ilmu dan semakin luas ilmu yang diterokai, semakin tinggi keupayaan sesuatu bangsa untuk maju serta berkembang.

Pada masa sama, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan penghargaan kepada UiTM yang kekal relevan dalam membangunkan anak bangsa, sambil menegaskan amanah institusi tersebut perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam melindungi hak orang Melayu, Orang Asli serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Ad Banner
Ad Banner

Hal itu, titah baginda selaras Akta 173 (1A) dan Peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memelihara kedudukan UiTM agar terus berperanan dalam menjamin kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, di samping memastikan kepentingan sah kaum-kaum lain turut dipelihara sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Seumpamanya sebagai sebuah Universiti Diraja. 

“Justeru, UiTM hendaklah terus dipertahankan sebagai institusi yang berteraskan amanah ini dan saya tidak berkenan sekiranya terdapat mana-mana pihak membuat cubaan mengubah, menggugat atau memesongkan tujuan penubuhannya,” titah baginda.

Tengku Permaisuri Norashikin juga berharap institusi pendidikan tinggi seperti UiTM akan terus menjadi medan melahirkan generasi pelapis negara yang berilmu, berintegriti, mencintai tanah air dan mampu memikul amanah demi masa depan negara.

Pada masa sama, baginda menyeru graduan UiTM supaya terus membawa nama baik universiti sebagai duta kecil institusi itu, sambil mengingatkan kejayaan hari ini merupakan permulaan kepada cabaran kehidupan lebih besar, yang menuntut kekuatan jati diri, keteguhan akhlak dan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan.

Sementara itu, Tengku Permaisuri Norashikin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Kee Mustafa atas pelantikan sebagai Pro-Canselor UiTM dan menyifatkan pelantikan itu sebagai satu pengiktirafan amat bermakna terhadap kepimpinan, pengalaman serta sumbangannya yang tidak ternilai.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 25,336 graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam pelbagai peringkat dan merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, penjaga dan keluarga atas sokongan mereka.

Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor berkenan mengurniakan ijazah sarjana kepada 290 graduan pascasiswazah bagi peringkat Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana Kepakaran Klinikal, yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104 di DATC berlangsung bermula hari ini sehingga 23 Mei 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan