ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi meneliti aspek keselamatan di sekolah, susulan insiden seorang murid perempuan tahun dua yang maut dilanggar sebuah van di hadapan sekolah di Batu Pahat, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata selain meneliti punca kejadian, jawatankankuasa khas itu akan turut memberikan tumpuan kepada penambahbaikan garis panduan keselamatan sedia ada, serta menyelaras pelaksanaan langkah keselamatan di peringkat negeri.
“Jawatankuasa ini juga akan menyokong pelaksanaan Kempen Sekolah Selamat yang tidak hanya melibatkan aspek keselamatan jalan raya, tetapi juga keselamatan murid di dalam kawasan sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Aznan berkata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) turut diingatkan supaya memperketat kawalan terhadap kenderaan yang keluar masuk kawasan sekolah dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau berkata semua kenderaan yang memasuki kawasan sekolah juga perlu berdaftar di pos keselamatan dan mematuhi garis panduan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko.
Garis panduan keselamatan berkaitan pergerakan kenderaan di sekolah telah diperkenalkan sejak 1999 dan sentiasa dikemas kini mengikut keperluan semasa.
Kerajaan negeri akan memperkemas lagi garis panduan berkenaan termasuk melalui pelaksanaan Kempen Sekolah Selamat yang dijadual dilancarkan awal bulan depan, yang merangkumi aspek pergerakan keluar masuk murid, kawalan trafik serta keselamatan dalam kawasan sekolah.
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga mangsa serta murid-murid yang terkesan bagi membantu mereka menangani trauma akibat kejadian itu.
Aznan berkata beliau sendiri akan menyantuni keluarga mangsa pada esok.
Semalam, seorang kanak-kanak berusia lapan tahun Nur Aini Umairah Mohd Fareez maut selepas dilanggar sebuah van di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Maimon, Parit Sulong.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah hari di hadapan pintu pagar utama sekolah berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah van yang berada dalam kawasan sekolah selepas selesai menghantar barang sedang bergerak keluar melalui pintu pagar utama menuju ke Jalan Simpang Lima–Parit Sulong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial