Oleh Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 6 Mei (Bernama) -- Seorang jemaah haji lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung, semalam.
Menurut kenyataan Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini, jemaah yang berasal dari Senggarang, Johor itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ajiyad pada 6.16 petang waktu tempatan (11.16 malam waktu Malaysia).
“Allahyarham hadir ke Tanah Suci bersama isteri dan merupakan jemaah yang dibawa syarikat pengelola jemaah haji dalam kumpulan KT34 serta menginap di Elaf Al Bait.
“Allahyarham telah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di hospital,” menurut kenyataan itu.
TH memaklumkan, jenazah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas solat subuh dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea.
Ini merupakan kematian kedua direkodkan selepas seorang jemaah lelaki berusia 65 tahun dari Pahang meninggal dunia, selepas rebah ketika hendak menunaikan solat Jumaat di dataran Masjidil Haram di sini pada 1 Mei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial