Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pendedahan Peluang Kerjaya Persediaan Awal Banduan Kembali Kepada Masyarakat

06/05/2026 09:45 PM

ARAU, 6 Mei (Bernama) -- Program Outreach Korektif 'Keadilan Restoratif' bukan sahaja memperkukuh aspek pemulihan emosi banduan, malah membuka ruang pendedahan peluang pekerjaan sebagai persediaan awal sebelum mereka kembali kepada masyarakat.

Pengarah Penjara Perlis Ab Nasif Sarahan berkata pendekatan itu penting bagi memastikan banduan tidak berdepan kesukaran mencari pekerjaan selepas dibebaskan kelak, sekali gus mengurangkan risiko mengulangi kesalahan. 

“Program ini memberikan peluang kepada prospek (banduan) memahami realiti dunia pekerjaan melalui pendedahan awal termasuk platform carian kerja dan keperluan kemahiran semasa,” katanya kepada pemberita pada program berkenaan di Pusat Koreksional Perlis (Jabatan Penjara Malaysia), di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Program itu melibatkan 20 prospek bersama 40 ahli keluarga dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyediakan khidmat nasihat serta panduan kerjaya.

Ab Nasif berkata inisiatif seperti MyFutureJobs oleh PERKSO membantu prospek mengenal pasti peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran serta minat mereka.

“Apabila mereka dibebaskan kelak, mereka perlu berdikari sebagai anggota masyarakat. Jadi sokongan majikan dan komuniti amat penting untuk memastikan proses integrasi semula berjalan lancar,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, seorang banduan yang hanya dikenali sebagai Tam, 53, berkata dia mula menjalani hukuman penjara pada 13 Mac 2024 dan dijadual dibebaskan pada 13 Nov tahun ini. 

Bekas pengurus wilayah sebuah institusi perbankan itu mengakui kesilapan silam berpunca daripada sikap tamak sehingga terjebak dalam jenayah kewangan, namun kini bertekad untuk memulakan kehidupan baharu selepas keluar penjara kelak. 

“Saya harap masyarakat dapat beri peluang kedua. Program seperti ini membuka mata kami tentang hala tuju selepas bebas, terutama dalam mencari pekerjaan,” katanya.

Dia turut berhasrat membantu bekas banduan lain mendapatkan pekerjaan serta menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setelah dibebaskan, bagi meningkatkan kesedaran terhadap kesalahan jenayah dan kesannya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan