KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Persiapan akhir forum media HAWANA yang merupakan program pemula kepada semua acara dirancang sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 hari ini berjalan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata program yang dijangka menjadi tumpuan itu disertai pemimpin media, wartawan, ahli akademik, pengamal perhubungan awam, serta pensyarah dan pelajar dari universiti awam dan swasta.
"Esok adalah hari yang kami tunggu-tunggu sebagai pemula kepada semua program yang telah dirancang sempena sambutan HAWANA pada tahun ini.
"Alhamdulillah, persiapan yang kita telah aturkan hari ini berjalan lancar, semuanya telah tersedia dan saya berharap majlis perasmian esok oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, akan berjalan dengan lancar dan sempurna," katanya semasa meninjau raptai sempena forum media HAWANA 2026, di sini hari ini.
Nur-ul Afida berkata forum berkenaan menampilkan tiga sesi menarik dengan sesi pertama membincangkan isu berkaitan industri media semasa dalam tempoh krisis seperti yang berlaku kini susulan konflik di Asia Barat.
"Begitu juga dengan sesi kedua dan ketiga, yang menyentuh tentang bagaimana wartawan mengemudi perjalanan mereka dalam industri media dan juga bagaimana mereka harus menerima kecerdasan buatan (AI) dan teknologi lain dalam tugasan harian.
"Semua topik yang kita aturkan ini saling berkait dan saya pasti boleh membantu pengamal media dalam industri sekarang," katanya.
Acara kemuncak HAWANA 2026 yang dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA Pulau Pinang pada 20 Jun.
Selain forum, HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana turut menampilkan pelbagai acara, termasuk Pesta Pantun, Fun Walk, pameran dan karnival sukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial